adsense

Friday, November 6, 2009

Sumber Ilhamku

Pak Jatnika ikon buluh

Mula mengusahakan rumah buluh sejak tahun 1985, Jatnika tidak jemu-jemu menghasilkan rekaan rumah buluh yang mempesonakan termasuk yang terbaru di Hulu Langat, Selangor.


SEBUAH binaan bambu di Indonesia.


APABILA berbicara tentang individu di sebalik industri buluh di rumpun Nusantara, namanya antara yang wajar disebut. Hasil kerjanya bukan sahaja berlegar di Indonesia, negara asalnya, bahkan sehingga ke Arab Saudi dan Jerman. Semasa mengusahakan perabot sekitar tahun 1975 sehingga 1985, produknya pernah sampai ke Sepanyol. Ternyata, dia membuktikan buluh bukan satu material yang patut dipersiakan.

Mesra dipanggil sebagai Pak Jatnika, anak kelahiran Sukabumi, Jawa Barat itu disifatkan bagai ikon buluh. Sehingga ada yang mengatakan, mengenalinya seperti mengenali buluh. Tidak hairanlah dia sering menjadi pakar rujuk bagi sesiapa sahaja di sekitar Indonesia dan Malaysia yang ingin mendalami ilmu membuat barangan atau binaan daripada buluh.

Memimpin Yayasan Bambu Indonesia, Jatnika, 53, boleh dianggap salah seorang daripada pengubah pemikiran masyarakat di Indonesia tentang buluh.

Buluh sememangnya material yang akrab dengan manusia di Nusantara sejak dahulu kala. Perabot dan rumah lazim diperbuat daripada buluh. Namun apabila arus pemodenan melanda sekitar hujung tahun 70-an, buluh semakin dilupakan dan mentaliti kita dengan pantas menyifatkan rumah buluh sebagai rumah orang miskin.

Tetapi, bagi Jatnika, di dadanya sentiasa ada rasa berkobar-kobar untuk mengubah persepsi masyarakat agar menganggap buluh memiliki banyak manfaat dan amat berharga.

Mula mengusahakan rumah buluh sejak tahun 1985, Jatnika tidak jemu-jemu memperbaiki penghasilan rekaan rumah buluh sehingga berseni mewah dan mampu mempesona mata ramai.


IBU Try Sutrisno (tiga dari kiri) meluangkan masa meninjau rumah bambu milik Ramadhan (kanan) di Hulu Langat, Selangor.


Usahanya dan pengusaha buluh yang lain boleh dikatakan berhasil apabila bermula tahun 1995, suasana berubah di Indonesia. Bukan sahaja terdapat binaan dan landskap-landskap buluh di kota-kota seperti Jakarta, bahkan banyak rumah orang berpengaruh termasuk golongan pegawai pemerintah diperbuat daripada buluh.

"Sebelum tahun 1995, masyarakat di Indonesia menganggap rumah buluh adalah rumah orang miskin dan tidak istimewa. Kalau mahu dapatkan bantuan kewangan untuk buat rumah buluh, cepat sahaja ia diuruskan sebab orang fikir pemohon itu miskin dan mesti cepat dibantu.

"Tetapi, keadaan berubah selepas tahun 1995. Mentaliti masyarakat berubah bahawa yang memiliki rumah daripada buluh itulah orang kaya. Sudah jadi terbalik pula," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


PAK JATNIKA


Warisi kepakaran

Jatnika mewarisi kepakaran 'berurusan' dengan buluh daripada bapanya. Sejak berusia 10 tahun lagi, Jatnika sudah mula menganyam buluh. Pada usia 15 tahun, dia sudah mula menghasilkan kraftangan daripada buluh. Kemahirannya dikembangkan sehingga membuat perabot seperti kerusi dan katil pada tahun 1975. Selepas 10 tahun, dia mula mengusahakan rumah buluh.

Mempunyai pengalaman selama 24 tahun membuat rumah buluh, sehingga kini, sudah lebih 3,000 rumah buluh bercita rasa moden dan mewah dihasilkan oleh Jatnika. Dia juga menghasilkan cottage buluh di resort terkenal di Jatinangor, Jawa Barat.

Saat berbicara dengannya tentang buluh, nada suaranya di talian sentiasa bersemangat.

"Andai saya hitung, ada lebih 1,500 kegunaan buluh. Lagi pula, di Indonesia tidak asing dengan bencana gempa bumi. Buluh adalah material yang mempunyai daya tahan gempa yang lebih baik.

"Dengan menyemarakkan industri buluh juga, ia tidak akan memusnahkan hutan. Tidak seperti pokok, jika ditebang maka 100 tahun lagi, mungkin baru kembali matang. Mungkin juga pokok perlu ditanam semula. Tetapi buluh, ia tanaman yang cepat tumbuh," katanya sambil menegaskan tumbuhan penting untuk mendinginkan persekitaran alam.

Jatnika juga percaya dengan buluh boleh menyatupadukan. Jatnika mula melakukan pameran buluh di Malaysia pada tahun 2007. Sejak itu, terdapat beberapa individu di negara ini yang tertarik dengan hasil kerjanya dan mahu mendalami ilmu pembuatan barangan dan rumah buluh dengannya. Terdapat juga pihak yang berminat untuk meminta Jatnika membina kediaman mereka daripada buluh.

Mahligai buluh

Rumah bambu seakan banglo di Hulu Langat, Selangor milik bekas pegawai bank, Ramadhan Abdul Hamid sebenarnya dibangunkan oleh Yayasan Bambu Indonesia yang dipimpin oleh Jatnika. Buluh-buluh itu turut dibawa dari Indonesia.

Projek julung-julung kali tersebut disifatkan oleh Jatnika, sebagai lambang persahabatan antara Indonesia dan Malaysia. Penaung dan pengasas Yayasan Bambu Indonesia, Ibu Try Sutrisno turut meluangkan masa datang meninjau rumah bambu tersebut ketika ia sedang disiapkan.


MEMANFAATKAN buluh untuk pembinaan rumah dapat mengelakkan kemusnahan hutan.


"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang turut membantu dalam penghasilan rumah bambu di Hulu Langat ini. Antaranya individu-individu dari Yayasan Bambu Indonesia dan sahabat-sahabat dari serata Malaysia.

"Harapan saya adalah untuk melihat rumpun Nusantara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei dapat bersatu dalam memajukan industri buluh.

"Bagi saya, serumpun bambu itu membawa maksud sejuta makna, sejuta karya dan sejuta cipta," simpul Jatnika. - ADHAM SHADAN-Kosmo Online

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017