adsense

Friday, December 25, 2009

Dulu Sisa Kumbahan Kini Bahan Binaan

Dari sisa kumbahan ke bahan binaan



Dr. Zularisam Ab. Wahid menunjukkan bio-brick yang dihasilkan dari sisa kumbahan dan sesuai bagi bahan binaan.

MASALAH sisa kumbahan menyebabkan kerajaan perlu mengadakan pelbagai usaha untuk merawatnya.

Setiap hari sisa kumbahan makin bertambah dengan pertambahan penduduk dan pelbagai langkah perlu dilakukan untuk menangani masalah berkenaan.

Pada tahun 2006, Jabatan Alam Sekitar mendapati 48 peratus pencemaran air berpunca daripada loji rawatan kumbahan, 45 peratus dari industri, lima peratus ladang ternakan manakala selebihnya industri asas tani.

Justeru sekumpulan pensyarah dan penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menyahut cabaran menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan berguna daripada sisa buangan terutama kumbahan.

Kajian yang diketuai oleh Dr. Zularisam Ab. Wahid dijangka dapat mengurangkan sisa kumbahan yang bertambah saban tahun dengan menjadikannya sebagai salah satu campuran dalam bahan binaan.

Bahan yang dinamakan bio-brick dihasilkan daripada sisa kumbahan kering dan loji rawatan air dengan nisbah tertentu.

"Ini bagi menentukan batu bata yang dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Malaysia Standard (MS) dan British Standard (BS) dalam kekuatan, ketumpatan, kulat dan penebatan," katanya.

Sebelum ini, jelas Dr. Zularisam, masalah yang sering dihadapi adalah masalah kulat atau fungus yang tumbuh di dinding.

Justeru kajian menunjukkan hanya 20 peratus sisa kumbahan digunakan bagi menggantikan nisbah pasir.

Biasanya dalam pembuatan batu bata, satu bahagian simen digunakan dengan enam bahagian pasir.

"Tetapi dalam teknologi ini nisbah pasir dikurangkan dan digantikan dengan sisa kumbahan," katanya.

Kajian yang dijalankan menunjukkan batu-bata yang dihasilkan daripada sisa kumbahan dapat bertindak sebagai penebat haba yang baik.

Menggunakan batu-batan biasanya sebuah rumah akan panas semasa siang dan sejuk pada waktu malam.

"Bagaimanapun rumah menggunakan Bio-brick terasa dingin pada siang dan hangat pada malam hari kerana haba yang diserap pada siang lambat dibebas di dalam rumah," katanya.

Apa yang lebih menarik, Bio-brick lebih ringan dan secara langsung dapat mengurangkan kos tenaga buruh.

Justeru penggunaan Bio-brick bukan saja dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar tetapi juga mengurangkan kos bahan binaan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Dr. Zularisam berkata, setakat ini Bio-brick masih dalam peringkat ujian makmal dan industri sebelum boleh dikomersialkan.

"Sehingga kini terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dan menggunakan teknologi menghasilkan Bio-brick," katanya.

sumber utusan online

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017