adsense

Sunday, October 10, 2010

Program Susu 1Malaysia Mesti Berkualiti - TPM

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam Program Susu 1Malaysia untuk diagih kepada 3.1 juta murid di seluruh negara, memastikan tiada murid mengalami keracunan akibat meminum susu tidak berkualiti.
Selain pembekal susu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pentadbiran sekolah dan ibu bapa harus memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku, sekali gus menjamin kesihatan murid sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Kualiti susu dibekalkan kepada murid perlu diberi perhatian serius. Kita tidak berkompromi dari aspek kualiti dan sentiasa memastikan susu dibekalkan memenuhi piawaian ditetapkan.

"Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan menyediakan Garis Panduan Pengendalian Bekalan Susu Sekolah bagi memastikan keselamatan, pengendalian dan kualitinya. Ia mencakupi aspek kualiti produk, pengangkutan, penyimpanan di gudang dan sekolah serta pengagihan," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Kempen Minum Susu 1Malaysia peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Mutiara di sini, semalam.
Program itu diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada 16 September lalu, bertujuan memastikan murid mendapat sumber protein mencukupi untuk menjalani pembelajaran, selain memiliki tubuh sihat dan cergas.
Muhyiddin berkata, program membabitkan peruntukan RM375 juta setahun berasaskan pembekalan dua kotak susu seminggu setiap murid atau 270 juta kotak setahun.
“Sabah sebagai pengeluar terbesar susu negara berupaya membekalkan 80 juta kotak susu setahun, manakala bakinya dari Semenanjung dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, program itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) membela rakyat, terutama di luar bandar dan pedalaman, selain memberi kesan limpahan ekonomi meluas dalam jangka panjang.

 

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017