adsense

Thursday, March 11, 2010

Gugur jika gagal lapor diri.....guru baru?

Guru baru gagal lapor diri akan digugurkan - Puad

KUALA TERENGGANU 11 Mac – Para pendidik yang baru tamat pengajian tetapi gagal melaporkan diri untuk berkhidmat mengikut tarikh yang ditetapkan akan menghadapi tindakan digugurkan sebagai guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, meskipun kes tersebut adalah terpencil, namun amaran perlu dikeluarkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Kebanyakan guru tidak menolak untuk ke pedalaman cumanya ada segelintir sahaja guru yang kita suruh pergi, dia tak mahu pergi. Isu kekurangan guru berpunca daripada guru opsyen.

"Guru opsyen ini seperti guru Sejarah, Kemahiran Hidup dan Bahasa Inggeris. Kebanyakan mereka berpindah tetapi tidak ada ganti.

“Kalau contohnya seorang guru itu sanggup ke pedalaman memandangkan ia kampung halamannya, kalau dia mengajar agama, guru itu tidak boleh mengajar Bahasa Inggeris kerana standardnya tidak akan sama seperti yang kita (kementerian) mahukan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan majlis penyampaian sijil kepada lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, dekat sini.

Mohd. Puad berkata, guru yang digugurkan bagaimanapun masih boleh membuat rayuan dengan mengemukakan bukti dan alasan yang boleh menjadi pertimbangan kepada pihak kementerian untuk dikekalkan sebagai guru. – Bernama

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017