adsense

Saturday, February 6, 2010

Penghargaan Buat Johan Qari dan Qariah

Imbuhan Kepada Johan Qari Dan Qariah Suatu Penghargaan, Kata Bekas Juara

KOTA BAHARU, 6 Feb (Bernama) -- Langkah kerajaan memberi imbuhan bulanan RM2,000 seumur hidup kepada johan qari dan qariah Tilawah Peringkat Antarabangsa disifatkan sebagai suatu pengiktirafan yang paling berharga bagi penyandang gelaran itu di seluruh negara.

Bekas johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa dari Kelantan, Faridah Mat Saman, 60, berkata beliau bersyukur kerana sumbangannya itu mendapat penghargaan yang dianggap setimpal daripada kerajaan.

"Ini suatu pengiktirafan kerajaan yang amat tinggi dan berharga buat kami warga pendidik al-Quran," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di kediamannya di Seremban pada Sabtu.

Faridah yang berasal dari Jalan Merican di sini adalah qariah paling kerap menggondol gelaran johan qariah iaitu sejak 1964 hingga akhir 1970-an, termasuk johan qariah peringkat antarabangsa tiga tahun berturut-turut iaitu dari 1994 hingga 1996," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan bayaran insentif tetap seumur hidup RM2,000 setiap bulan kepada qari dan qariah Malaysia yang pernah menjadi johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, berkuatkuasa Oktober lepas.

Insentif itu membabitkan 23 individu iaitu sembilan qari dan 14 qariah yang menjadi johan pertandingan itu sejak 1961 hingga kini.

Najib berkata bayaran imbuhan itu selaras dengan konsep pencapaian diutamakan selain menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha membaca, menghayati dan mengaplikasinya dalam kehidupan.

Seorang lagi qari yang pernah menjadi johan qari peringkat antarabangsa, Husin Yunus, 47, berkata beliau amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang terbuka pintu hati untuk mengumumkan perkara yang disifatkan sebagai anugerah amat berharga.

Beliau yang kini bertugas sebagai guru kaunselor di Sekolah Kebangsaan Ibrahim I, Pasir Mas muncul johan qari peringkat antarabangsa pada 1997.

"Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Datuk Seri Najib yang bermurah hati kepada golongan penggiat al-Quran yang melakar sejarah negara di persada tilawah di peringkat awal lagi," katanya.

Sementara itu beliau yang menganggotai jawatankuasa Persatuan Qari Al-Quran Kelantan berharap kerajaan negeri menimbang semula langkah menyekat penyertaan wanita sebagai qariah dalam tilawah al-Quran peringkat negeri.

"Ini penting bagi mewujudkan golongan pelapis wanita dalam bacaan dan penghayatan al-Quran," katanya.

-- BERNAMA

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017