adsense

Monday, November 2, 2009

Didik Murid Berniaga

SEJAK ditubuhkan pada 1998, Kelab Usahawan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Kamaruddin, Hulu Selangor, memberi impak sangat besar terutama mengembangkan potensi pelajar dalam kegiatan perniagaan.

Selain menggalakkan pelajar mempraktikkan subjek Matematik dan Ekonomi, kelab itu aktif dan cemerlang.

Lebih membanggakan, kelab usahawan sekolah itu mempunyai syarikat sendiri, Cahaya Sejajar Sdn Bhd bagi membantu pelajar menjalankan perniagaan di sekolah.

Guru penyelaras, Nurul Mariah Ahmad, berkata, walaupun mempunyai 25 ahli, mereka mampu mengusahakan perniagaan secara meluas dengan melakukan pelaburan besar saham simpanan.

Beliau berkata, pelajar di sekolah itu dilatih membeli 'saham' dengan menyimpan di syarikat berdaftar secara sah itu dari semasa ke semasa.

"Selain menjalankan aktiviti perniagaan di sekolah, kelab sering mengadakan jualan di luar sekolah termasuk program rasmi kelolaan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.

"Kelab ini turut menghantar ahli menyertai kursus dan seminar keusahawanan selain program khas Usahawan Muda Negeri Selangor (Permata Selangor) bagi memberi peluang kepada mereka mendalami bidang perniagaan," katanya.

Selain ahli kelab, pelajar sekolah diberi peluang membantu kelab mengumpul dana bagi memacu kemajuan kelab secara berterusan.

"Antara kegiatan kelab ialah membuka pusat mencuci kereta, projek bumi hijau, ternakan keli dan jualan makanan ringan.

"Kecemerlangan itu membolehkan kelab ini memenangi banyak kejayaan dalam pertandingan di pelbagai peringkat," katanya.

Menurutnya, setiap ahli diberi peluang berniaga menggunakan modal yang diperuntukkan khas bagi melatih mereka mempunyai keyakinan diri.

"Penyertaan pelajar dalam kelab ini juga memberi banyak kelebihan dan ilmu perniagaan menerusi program yang dijalankan," katanya.



PROFIL

NAMA SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Kamaruddin

TARAF: Sekolah Harian Gred A

PENGETUA: Abd Manap Jarkasi

NAMA KELAB: Kelab Usahawan

GURU PENYELARAS: Nurul Mariah Ahmad

TARIKH PENUBUHAN: 1998

AHLI: 25 orang


sumber Harian Metro

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017