adsense

Wednesday, November 11, 2009

Bakat yang tersembunyi

Ismail siapkan gong tiga hari

Meskipun tidak mempunyai kemahiran pada awalnya, namun kematian seorang tukang pembuat gong menyebabkan Ismail nekad menjalankan perniagaan membuat gong.


GONG-GONG yang dijual ini berharga RM200 sebiji.


TIDAK terlintas di fikiran seorang tukang besi, Ismail Mohd. Akib, 46, untuk membuat gong. Namun idea itu datang setelah alat tersebut rosak sebelum beliau sempat melakukan persembahan dalam satu acara silat di Kampung Rendang Pasir Yan Besar, Yan, Kedah.

Jika sebelum ini, beliau mendapatkan khidmat daripada seorang tukang gong di Pokok Sena tetapi setelah pembuatnya meninggal dunia, Ismail nekad untuk membuat gong tanpa bantuan sesiapa.

Jelas Ismail, pada mulanya, beliau langsung tidak berminat dan mahu mempelajari teknik membuat gong tetapi akhirnya akur dengan desakan rakan-rakan yang mahu gong disiapkan secepat mungkin untuk persembahan pencak silat di kampung mereka.

Menurutnya, beliau mula membuat gong sejak lapan tahun lalu dan tidak mengalami masalah untuk mendapatkan bahan-bahan asas bagi membuatnya.

Ini kerana, katanya dia ada mengusahakan bengkel besi berdekatan rumahnya.

"Kalau nak dapatkan bahan-bahan seperti besi, memang tiada masalah kerana semua kelengkapan dan peralatan besi sudah ada dan lengkap di bengkel.

"Cuma, saya hanya perlu tahu cara membuatnya supaya bentuk dan bunyinya nanti tidak lari daripada yang asal," katanya.


KELENGKAPAN dan peralatan besi sudah lengkap di bengkel Ismail sekali gus memudahkannya untuk menghasilkan gong yang berkualiti.


Ismail mengakui, ketika kali pertama membuat gong, beliau merasakan amat susah kerana kurang mahir. Namun, setelah beberapa kali mencuba, akhirnya beliau berjaya melakukannya.

"Susah memang susah... tetapi saya paksa juga diri untuk membuatnya. Akhirnya, saya kini semakin mahir membuat gong," katanya.

Bercerita lanjut tentang cara-cara membuat gong, Ismail berkata, bahan-bahan yang perlu ada adalah kepingan besi yang berukuran 7.6x17.8 sentimeter (sm) dan alatan memotong besi.

"Dengan menggunakan alat pemotong, kepingan besi dibentuk mengikut saiz gong yang dikehendaki sama ada 48.3sm, 43.2sm, 40.6sm dan 35.6sm sebelum dicantumkan dengan bingkainya.

"Kebiasaannya, satu gong boleh disiapkan dalam masa tiga hari sahaja dan ia dibuat secara sambilan dan tidak sepenuh masa serta bergantung kepada tempahan," katanya.

Buat masa ini, tempahan diterima daripada ahli-ahli persatuan silat sekitar negeri Kedah, manakala tempahan paling jauh pernah diterimanya dari Bangkok, Thailand.

"Saya tidak melakukan pengiklanan kerana perniagaan ini dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tempahan yang diterima dari Bangkok itu pun diketahui melalui seorang rakan, iaitu setelah disebarkan dari mulut ke mulut," katanya.


GENERASI muda perlu belajar membuat gong agar warisan ini tidak pupus ditelan zaman.


Tambah Ismail, kalau boleh beliau ingin melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi lagi, selain bercita-cita mahu mempunyai kedai membuat gong sendiri memandangkan pada zaman kini, tidak ramai orang mengetahui cara pembuatannya.

"Kalau ada kedai sendiri, saya tidak kisah nak berkongsi idea dan cara pembuatan gong kepada sesiapa sahaja kerana tak rugi kalau ada kemahiran membuat gong. Ini kerana kebanyakan orang muda tidak mengetahui cara membuatnya. Jika seni membuat gong tidak diwarisi, kemungkinan ia akan luput begitu sahaja .

"Buat masa sekarang, saya amat berpuas hati dengan apa yang diperoleh dan bersyukur dengan 'anugerah' Tuhan kepada saya dalam kerja-kerja membuat gong," katanya.

Menurutnya, gong-gong tersebut dijual pada harga RM200 sebiji dan untuk sebarang tempahan, boleh datang sendiri ke rumahnya atau menghubungi talian 019-557 7405.

sumber Kosmo Online

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017