adsense

Tuesday, July 27, 2010

Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010 ) Siri 3

10,000 bakal meriahkan MI2010


Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi bersama Zull Design-Utusan Malaysia antara program menarik MI2010 di Kuala Terengganu.


Berkonsepkan Pantai Timur, Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010 ) siri ketiga iaitu bagi Zon Timur pasti menarik minat para pengunjung untuk datang serta menyertai pelbagai aktiviti yang telah diaturkan.

Karnival tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan meliputi negeri-negeri di pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang. Karnival bakal diadakan di Pusat Dagangan Kuala Kuala Terengganu pada 30 dan 31 Julai ini.

Karnival inovasi itu dijangka menerima sambutan 10, 000 pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat dan disertai oleh pelajar sekolah, golongan belia, wanita, warga emas dan tidak ketinggalan golongan kurang upaya (OKU).

Menurut Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Nur Wahidah Wong Abdullah, pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan tradisional dan kebudayaan masyarakat pantai timur ditonjolkan.

Antaranya, pertandingan mencanting batik, pembuatan kraftangan yang mampu mencungkil bakat terpendam daripada peserta.

“Bertepatan dengan tema Meraikan Kreativiti, pelbagai program inovasi telah disusun untuk semua lapisan masyarakat.

“Sebagai contoh, pertandingan inovasi peringkat zon Timur, pameran produk inovasi, ceramah interaktif, bengkel inovatif dan Malam Kreativiti Muzikal”, ujarnya.

Karnival pada kali ini juga turut memberi tumpuan kepada golongan wanita di Pantai Timur yang sememangnya terkenal dengan sikap lemah lembut serta kerajinan mereka.

Ia bagi membuka peluang kepada golongan tersebut untuk mempelbagaikan aktiviti yang boleh menjana pertambahan pendapatan mereka.

Turut dijangka menjadi tumpuan orang ramai adalah Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi bersama Zull Design dengan kerjasama Utusan Malaysia.

Bengkel yang akan disertai seramai 100 peserta tersebut akan merungkai rahsia penggunaan alatan tertentu yang memudahkan peminat inovasi untuk melakukan pelbagai ciptaan terbaru.

Manakala Program Malam Kreativiti Muzikal pada hari pertama karnival tersebut bakal menonjolkan bakat serta kreativiti anak-anak muda negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Berkonsepkan waste to wealth, program tersebut turut bakal menyaksikan persaingan hebat antara kumpulan-kumpulan yang terpilih sebagai finalis

Johan pertandingan tersebut berpeluang membuat persembahan pada Festival Malaysia Inovasi 2010 di Bukit Jalil November ini.

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017