adsense

Tuesday, December 8, 2009

Kemahiran Komunikasi Untuk Dapat Kerja

Graduan Perlu Mantapkan Kemahiran Komunikasi Untuk Dapat Kerja

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Graduan universiti disaran memantapkan kemahiran komunikasi dan tidak bergantung kepada kelayakan akademik semata-mata bagi mendapat tempat di pasaran kerja yang semakin mencabar, kata Naib Canselor Universti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon.

Beliau berkata ini tidak bermakna kelayakan akademik itu tidak penting, tetapi ia hanya penting dalam tempoh beberapa tahun pertama selepas penuntut menamatkan pengajian.

"Hanya graduan yang tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik di luar sana (pasaran kerjaya) akan bergantung harap kepada kelulusan di atas kertas yang mereka miliki.

"Bagi yang cemerlang di alam kerjaya, mereka hanya menggunakan ijazah itu sebagai pasport untuk mendapatkan pekerjaan pertama sahaja," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Pertandingan Akhir Kategori Bahasa Melayu dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Debat Diraja Ke-13, di sini Isnin.

Mencemar duli berangkat ke majlis itu ialah Pro-Canselor UM yang juga Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub.

Ghauth berkata beliau pernah bertemu dengan seorang graduan yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa lima minit temuramah bersama bakal majikannya walaupun graduan tersebut hanya mempunyai kelayakan akademik kelas dua bawah.

"Ini membuktikan kelayakan akademik semata-mata tidak menjamin sama ada anda layak atau tidak untuk mendapat pekerjaan yang dipohon," katanya.

Katanya beliau juga turut kesal apabila mendapat maklumat daripada JobStreet.com pada masa ini mengatakan majikan masih cenderung untuk menggaji lulusan universiti luar negara berbanding universiti tempatan.

Katanya perkara itu merisaukan pentadbir universiti kerana mereka mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keterampilan graduan.

"Sebab itu kami galakkan lebih ramai pelajar umpamanya di UM untuk menyertai program debat tetapi bilangan mereka hanya kira-kira 500 orang sahaja berbanding jumlah keseluruhan pelajar yang kini mencecah 25,000 orang," katanya.

Sementara itu, pertandingan debat kategori bahasa Arab diungguli oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang muncul johan manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) naib johan, manakala kategori bahasa Inggeris pula diungguli UIA sebagai juara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai naib juara.

Kategori bahasa Melayu pula diungguli Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)yang muncul juara dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHO) sebagai naib juara.

-- BERNAMA

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017