adsense

Thursday, January 28, 2010

Malaysia Inovatif 2010


PM lancar Malaysia Inovatif 2010












Oleh HELMI MOHD. FOAD dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak menerima replika satelit RazakSAT daripada Maximus Ongkili pada pelancaran Malaysia Inovatif 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa PICC, Putrajaya, malam tadi.

PUTRAJAYA 27 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melancarkan inisiatif Malaysia Inovatif 2010 ke arah mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara.

Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu kaedah bagi memberi suntikan inovasi dan kreativiti ke dalam masyarakat melalui pembangunan ekosistem yang berupaya melakukan perubahan ke arah itu.

Sambil menekankan agar proses inovasi “diarusperdanakan”, Perdana Menteri ingin melihat inovasi dan kreativiti di negara ini merentasi semua lapisan masyarakat dan mencakupi segala aspek kehidupan.

“Dalam menghala ke arah model ekonomi baru dan maklumat yang berpaksikan kepada pengetahuan dan inovasi, kita perlu sentiasa ingat bahawa hanya negara yang memiliki perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan.

“Inovasi bukan lagi milik sesiapa, bukan milik mana-mana negara atau bangsa. Ia boleh dimiliki oleh semua dan jika ia dijadikan amalan budaya hidup, ia boleh memperkasakan sesebuah bangsa.

“Pandangan bahawa inovasi milik ahli-ahli sains, teknologis dan cerdik pandai berkelulusan tinggi adalah tanggapan yang tidak tepat,” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Inovatif 2010 yang bertemakan “Meraikan Kreativiti” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Perdana Menteri yang mahu menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai agenda utama negara, menggariskan beberapa hasrat dan cadangan antaranya, setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu menubuhkan satu unit inovasi khas.

Unit tersebut akan bertanggungjawab terhadap pelbagai kegiatan dan program inovasi.

“Saya ingin melihat pembaharuan yang bukan sahaja tertumpu kepada sistem pengkomputeran malah meliputi semua sistem penyampaian awam dan semua titik sentuh pelanggan supaya lebih cekap, inovatif, pantas dan berkesan,” tegasnya.

Untuk itu kata beliau, kerajaan mencadangkan agar individu atau kumpulan serta agensi kerajaan yang berjaya membawa inovasi diberi ganjaran lumayan setimpal dengan hasil yang diperoleh.

Bagi sektor swasta yang menjadi enjin pertumbuhan pula, Najib berkata, kerajaan berhasrat merangsang pertumbuhan firma-firma swasta yang mempunyai komponen Hak Harta Intelek dijana anak tempatan.

Pada masa sama katanya, sistem perolehan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada keluaran tempatan dalam pembelian produk dan perkhidmatan.

Tambah Perdana Menteri, usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi membangunkan lebih banyak modal intelektual seiring dengan keperluan tenaga mahir.

Katanya, pada masa ini nisbah penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 pekerja ialah 18 orang dan kadar ini sebenarnya berada pada tahap rendah.

Perdana Menteri juga mahu inovasi dan kreativiti masyarakat dimulakan dari peringkat awal dengan budaya kreatif bermula dengan sistem pendidikan dan kekeluargaan.

“Penuntut harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif tetapi terkawal berpaksikan budi pekerti, tatasusila dan nilai-nilai murni,” katanya.

Najib juga mengulangi cadangannya agar Pusat Inovasi Negara ditubuhkan bagi berperanan menjana teknologi untuk pembangunan usahawan teknokrat.

“Saya berharap pusat itu akan memainkan peranan sebagai pusat inovasi yang mampu mewujudkan ekosistem yang menitikberatkan bukan sekadar penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi aspek pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan menggalakkan para cerdik pandai tempatan yang berada di luar negara agar pulang ke tanah air bagi melakukan lonjakan berfikir secara inovatif.

“Banyak negara yang dulunya kita tidak sangka sekarang sudah memiliki pusat penyelidikan atau universiti penyelidikan.

“Mereka tidak mementingkan siapa menjadi presiden universiti, ahli akademik dan para pelajarnya.

“Apa yang penting adalah hanya yang terbaik daripada kalangan terbaik dipilih,” katanya.

Menurut beliau, inilah contoh pemikiran yang diperlukan bagi abad ke-21 iaitu masyarakat negara ini perlukan keberanian untuk melakukan perubahan.

Kita mesti berani berubah untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Inilah sebenarnya intipati kepada pelancaran malam ini,” katanya.

Saturday, January 23, 2010

MESIN PERELAI JAGUNG

MESIN PERELAI JAGUNG



Mesin Perelai Jagung Manis direkacipta untuk merelai kernel jagung manis yang matang dari tongkolnya.

Mesin ini berupaya merelai kernel jagung pada kadar 6 -10 tongkol seminit, iaitu 20 kali ganda lebih cepat berbanding merelai dengan tangan. Kernel yang dihasilkan lebih bermutu dan sesuai digunakan untuk penyediaan ‘corn cup’, kuih jagung, sayur campuran dan air jagung. Mesin ini sangat berpotensi untuk dimajukan berdasarkan kepada permintaan kernel jagung manis terlerai yang kian meningkat.

Saiz mesin adalah 60 cm lebar X 78 cm panjang X 71 cm tinggi dengan beratnya antara 70 hingga 80 kg dan beroperasi dengan motor berkuasa 0.5 kuasa kuda serta mempunyai 3 saiz mata pemotong yang berbeza untuk saiz tongkol yang berbeza. Harga sebuah mesin di anggar bernilai RM 3500 seunit.

Sehingga kini, sebanyak 7 buah mesin telah difabrikasi dan diedarkan kepada pengguna.


Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Pusat Kejuruteraan Pertanian Teluk Chengai,
Jabatan Pertanian Teluk Chengai,
Jalan Kuala Kedah,
06600, Kuala Kedah,
Kedah Darul Aman

Tel: 04-7715175

Friday, January 22, 2010

Mesin Pemerah Minyak Kelapa Dara

Merekacipta Mesin Pemerah Minyak Kelapa Dara

(Virgin Coconut Oil Extractor)





Mesin pemerahan minyak kelapa dara dicipta khusus untuk
memudahkan kerja-kerja memerah minyak kelapa dara. Ia dicipta
menggunakan bahan-bahan tempatan yang mudah di dapati.
Direka hasil gabungan sains, seni dan kreativiti yang tinggi.
Ia lebih murah, mudah dan lebih cekap berbanding mesin import.


Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

Pusat Kejuruteraan Pertanian Teluk Chengai,
Jabatan Pertanian,
Teluk Chengai, Jalan Kuala Kedah,
06600, Kuala Kedah,
Kedah Darul Aman

Tel: 04-7715175

Wednesday, January 20, 2010

Industri Tani Penjana Kekayaan

Industri tani penjana kekayaan


Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.


Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Thursday, January 14, 2010

Tawaran lanjut Pelajaran Peringkat PHD & Sarjana 2010


Program Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) Peringkat Kedoktoran & Sarjana Tahun 2010


Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia akan membuka tawaran Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang sedang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Kedoktoran dan Sarjana di Intitusi Pengajian Tinggi Awam dalam negara.

Permohonan secara on-line boleh dibuat melalui laman web KPM iaitu http://www.moe.gov.my mulai 18 Januari 2010 hingga 17 Februari 2010. Syarat-syarat kelayakan dan tatacara permohonan boleh diperolehi daripada laman web tersebut.


Monday, January 11, 2010

Tawaran Jawatan Guru Cemerlang Tahun 2010


Pengisian Jawatan Guru Cemerlang Tahun 2010

KUALA LUMPUR, 11 Jan Pegawai perkhidmatan pelajaran lepasan diploma dan siswazah yang mengajar di sekolah, institusi pendidikan guru, Institusi Aminudin Baki dan kolej matrikulasi dipelawa untuk memohon jawatan Guru Cemerlang 2010.

Borang permohonan boleh diperolehi antaranya daripada institusi pendidikan, pejabat pelajaran daerah, jabatan pelajaran negeri dan laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my), menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

Tarikh tutup permohonan bagi calon dari Kelantan, Kedah dan Terengganu adalah pada 21 Jan dan bagi negeri-negeri lain ialah 22 Jan.

Sila klik disini untuk dapatkan borang permohonan

Sunday, January 10, 2010

LINUS - 1:15 guru pemulihan sekolah rendah

Nisbah 1:15 guru pemulihan sekolah rendah

Kementerian Pelajaran akan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah rendah daripada seorang bagi setiap sekolah ketika ini kepada nisbah 1:15 berbanding murid pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan lebih tumpuan kepada murid yang lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian akan menempatkan guru-guru terbaik mengajar murid-murid tahun satu di bawah program Literasi dan Numerasi (LINUS) mulai sesi persekolahan tahun ini.

“Dalam masa dua bulan ini, kita akan buat satu ujian di setiap bilik darjah bagi mengenal pasti murid yang lemah penguasaan dalam 3M.

“Kita akan buat ujian-ujian tertentu yang sesuai untuk memperbaiki keadaan supaya mereka dapat menguasai 3M dalam tempoh tiga tahun mereka bersekolah,” katanya.

Pada masa ini, kadar literasi di sekolah rendah adalah 87 peratus dan sasaran tahun ini menumpukan peningkatan tiga peratus iaitu kepada 90 peratus.

Muhyiddin berkata, program LINUS itu salah satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang akan diberi tumpuan khas oleh kementerian tahun ini

sumber utusan online

Tuesday, January 5, 2010

13,000 Guru Bahasa Inggeris - NKRA

13,000 Pengambilan Baru Guru Bahasa Inggeris Untuk Capai NKRA


KOTA SAMARAHAN, 5 Jan --- Untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Pelajaran kini dalam proses merekrut kira-kira 13,000 calon lepasan universiti dan lepasan sekolah menengah untuk dilatih sebagai guru Bahasa Inggeris di seluruh negara mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian yakin akan mencapai sasaran itu dan calon yang terpilih akan dihantar ke pusat institut pendidikan guru di negara ini.

"Ini salah satu langkah untuk mengatasi masalah kekurangan guru dan pada masa yang sama untuk memastikan pelajar dapat mengakses pendidikan yang berkualiti sepertimana yang digariskan di bawah NKRA," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, Sadong Jaya di sini hari Selasa.

Beliau turut mengunjungi lapan sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Batong Sadong.

Mohd Puad berkata kementerian akan mengambil lebih ramai calon guru tempatan untuk menjalani latihan perguruan bagi mengelakkan masalah penempatan guru di kawasan pedalaman dan luar bandar.



Beliau berkata kini terdapat 6,261 guru di 443 sekolah rendah dan menengah yang dikategori sebagai sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

"Angka ini agak tinggi dan untuk menangani masalah ini, kita harus mengambil lebih ramai calon tempatan yang berminat untuk dilatih sebagai guru," katanya.

Sementara itu, Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran akan mempergiat usaha untuk menyediakan kemudahan pembelajaran seperti bangunan sekolah, kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik di sekolah luar bandar dan pedalaman Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Selain itu, kementerian akan memberi perhatian segera kepada kemudahan rumah guru," katanya.

-- BERNAMA

Monday, January 4, 2010

Kreativiti dan Inovasi teras Pendidikan Negara

Kreativiti, inovasi jadi teras


Najib Tun Razak bergambar bersama sebahagian daripada 371 orang pelajar cemerlang sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR Peringkat Parlimen Pekan di Pekan, semalam.


PEKAN 3 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu elemen kreativiti dan inovasi menjadi teras dalam sistem pendidikan negara bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan berinovatif, bermula tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, tanpa kedua-dua elemen itu, tahap pemikiran pelajar tidak akan berkembang dan proses pengajaran serta pembelajaran menjadi membosankan terutama kepada mereka yang celik komputer.

‘‘Kita mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang inovatif dalam pelbagai sektor yang bermula daripada proses pendidikan.

‘‘Kita juga mahu melihat semua sektor melambangkan pemikiran yang kreatif dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 321 murid pada majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Pada majlis itu, pelajar terbabit yang mendapat 5A dalam UPSR baru-baru ini, menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang daripada Yayasan Rahah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Najib berkata, pendidikan berteras kreativiti dan inovasi merupakan satu dimensi baru apabila sebelum ini kedua-dua elemen tersebut hanya dipraktikkan di peringkat universiti dan sektor komersial.

Menurut beliau, elemen kreativiti dan inovasi akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih dinamik dan menarik kepada pelajar.

Ini kerana, jelas beliau, pelajar masa kini semakin terdedah kepada maklumat berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘‘Pelajar kini lebih terbuka minda kerana mereka boleh mengakses maklumat tanpa had. Dengan melalui enjin carian ‘Google’ misalnya, mereka boleh mendapat pelbagai maklumat.

‘‘Jika dalam kurikulum tidak ada elemen kreativiti dan inovasi, mereka akan jemu untuk belajar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mengakui tidak semua murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR akan mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) berikutan tempatnya yang terhad.

Bagaimanapun, jelas beliau, murid terbabit masih mempunyai peluang untuk merayu selain memohon ke Maktab Rendah Sains Nara (MRSM) atau sekolah-sekolah rancangan khas yang berkualiti.

utusan online

Friday, January 1, 2010

Renungan Tahun Baru

Sempena kedatangan tahun baru sama-sama kita renung kata-kata dibawah. Semoga kedatangan Tahun Baru 1431 Hijrah dan 2010 Masihi memberi semangat dan keyakinan serta perubahan kepada diri kita kerana ianya bergantung kepada diri kita sendiri.......


Dapatkan Comment Bergambar Di www.testi.kuriee.com

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017