adsense

Thursday, December 30, 2010

Pesawat tanpa pemandu

USM cipta pesawat tanpa pemandu

ENDRI Rachman (dua dari kanan) dan Dr. Othman Sidek (kanan) menunjukkan pesawat ringan tanpa pemandu untuk tujuan pemantauan ciptaan saintis USM di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 29 Dis. - Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) di sini telah mencipta pesawat ringan tanpa pemandu (UAV) untuk kegunaan industri pertanian dan penyelidikan, demikian diumumkan oleh Pengarah Pusat Rekabentuk Mikroelektrik Negara (CEDEC), Dr. Othman Sidek.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Dr Othman berkata; "Pesawat itu memiliki rekabentuk khas untuk membantu dalam tugas pemantauan di tempat berbahaya seperti kawasan gempa bumi, kawasan banjir dan tsunami selain untuk kegunaan dalam industri pertanian".

Beliau berkata, UAV yang digunakan oleh pusat-pusat penyelidikan di negara ini sekarang adalah diimport.

Katanya, pesawat ciptaan tempatan itu dikenali sebagai UAV Greeentech 2010 boleh terbang setinggi 300 meter pada kelajuan 55 km/sejam, mampu bertahan di udara selama 60 minit, dan tidak menggunakan petrol sebagai bahan bakar.

Ia tidak memerlukan kawasan luas untuk dikendalikan dan dengan berat 5 kilogram, ia boleh dilancar dengan tangan.

Beliau berkata, pasukan penyelidik yang diketuai oleh Endri Rachman mengambil masa tiga tahun untuk mencipta UAV berkenaan dengan kos penyelidikan RM200,000. - BERNAMA

sumber utusan online

www.kemahiranhidup2u.blogspot.com

Saturday, December 18, 2010

Satu Murid Satu Sukan (1M1S)

Dasar 1M1S hanya untuk murid sihat

sukan

PUTRAJAYA  - Kementerian Pelajaran mengingatkan pihak pentadbir sekolah bahawa pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) mulai tahun depan adalah dikhususkan untuk murid yang tidak mempunyai masalah kesihatan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, semua murid termasuk yang berkeperluan khas wajib didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.

''Selain itu, pihak sekolah hendaklah membuat perancangan bagi pengurusan aktiviti sukan secara sistematik supaya dapat meningkatkan penyertaan dan membantu dalam perkembangan potensi setiap murid dalam sukan.

''Pihak sekolah hendaklah mengoptimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan persekitaran dengan mengutamakan keselamatan murid," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu surat pekeliling yang dipetik dari laman web rasmi kementerian di sini, hari ini.

Pada 17 Mac lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan bahawa Dasar 1M1S akan dilaksanakan mulai tahun depan di semua sekolah kementerian.

Dasar itu diwajibkan untuk tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan enam di sekolah menengah.

Abdul Ghafar memberitahu, pihak sekolah digalakkan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi atau pihak luar bagi program pembangunan sukan di sekolah masing-masing.

''Pihak sekolah hendaklah memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun berdasarkan aktiviti rumah sukan dan kelab sukan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, sistem penilaian bagi penyertaan murid itu adalah berdasarkan kepada sistem sedia ada yang berasaskan kehadiran, jawatan serta sumbangan, penglibatan dan pencapaian.

''Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa dengan murid tahun empat dan tingkatan satu mulai tahun 2012," katanya.

sumber utusan online

www.kemahiranhidup2u.blogspot.com

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017