adsense

Wednesday, March 31, 2010

Beban Guru Kini Terbela...


Jawatankuasa Khas Kaji Beban Guru Ditubuh
KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung guru sekolah di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan memandang serius masalah itu yang dikhuatiri menjejaskan prestasi guru terbabit dan pencapaian pelajar untuk jangka masa panjang.

Jawatankuasa itu akan menentukan sama ada beban ditanggung itu adalah beban berlebihan atau tanggungjawab guru, katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini pada Rabu.

Muhyiddin berkata jawatankuasa diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu akan dianggotai wakil beberapa pertubuhan terbabit antaranya NUTP selain diberikan tempoh dua bulan untuk mengemukakan cadangan menangani masalah beban tugas guru itu.

NUTP antara lain mengadu terdapat guru sekolah menanggung beban berlebihan melibatkan kurikulum, ko-kurikulum, bilik darjah dan hal ehwal murid sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Turut dibangkitkan dalam pertemuan tengah hari tadi ialah mengenai cuti rehat mingguan guru sekolah dan sokongan NUTP kepada cadangan sukan di sekolah dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan akses pendidikan kepada rakyat.

-- BERNAMA

Tuesday, March 30, 2010

Renungan Buat Guru Kemahiran Hidup

Terlebih dahulu saya mohon maaf seandainya artikel ini menyinggung perasaan mana-mana pihak. Artikel ini saya petik dalam salah sebuah blog kemahiran hidup (www.kemahiran.wordpress.com ), ianya sebagai renungan untuk kebaikan kita bersama yang bergelar guru kemahiran hidup...

Berikut luahan hati seorang guru kemahiran hidup ..........................................
Sukatan Pelajaran, HSP dan juga buku teks telah dihasilkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit untuk memenuhi matlamat dan objektif KPM. Namun begitu kita (yang terlibat secara lansung dengan Kemahiran Hidup) perlu sedar apa sudah berlaku pada KHSR….???

Secara peribadi di atas pengalaman, saya senaraikan 3 katogeri yang berlaku pada KHSR di sesetengah sekolah buat masa ini.
1. Diajar tetapi tidak menghabiskan sukatan pelajaran
2. Tidak diajar semasa di tahun 6
3. Diajar tanpa menjalankan kerja amali


Mengapa ini boleh berlaku….??? Dari pengamatan, ini disebabkan pelbagai masalah atau kekangan. Antara yang dapat saya paparkan ialah;
1. Tiada guru yang berpengalaman atau mahir (guru khsr bertukar setiap tahun)
2. Sekolah tiada bengkel
3. Lebih tumpukan kepada subjek untuk UPSR
4. ……. dan banyak lagi…..


Apakah kesan terhadap situasi ini……???? Mungkin cikgu-cikgu mempunyai pendapat masing-masing. Bagi saya, terlintas difikiran mengapa KPM telah arahkan waktu pembelajaran KHB di sekolah menengah telah dikurangkan dari 4 waktu menjadi 3..?? Rakan-rakan ramai yang mengeluh tidak cukup masa untuk menjalankan P&P, kerana kita ditambahkan lagi dengan kerja kursus untuk PBS. Sebenarnya, masalah itu tidak akan timbul seandainya KHSR dijalankan dengan sepenuhnya. Sepatutnya Guru-guru di sekolah menengah tidak perlu lagi memberi penjelasan yang panjang terhadap sesuatu tajuk. Ini kerana tajuk-tajuk di Sekolah Rendah adalah berkait rapat atau sesetenganya sama dengan KHB sekolah menengah.

Setiap tahun, Panitia KHB bermesyuarat untuk KECEMERLANGAN PMR, pelbagai perkara kita bincang dan membuat pelbagai program… Mungkin kita terlepas pandang tentang apa yang saya bincangkan…!!!! Jadi siapa yang perlu berubah…..??? Tepuk dada tanya selera
Sekadar berfikir

Saturday, March 20, 2010

Waktu mata pelajaran BM, BI di tambah mulai 2010

Tambahan waktu mata pelajaran BM, BI mulai 2011

KUALA LUMPUR 20 Mac – Kabinet telah memutuskan supaya masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.
Bagaimanapun beliau berkata, masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar.
"Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu, tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang.
Di sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sesi pembelajaran untuk BM akan ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu.
Bagi BI, ia akan ditambah menjadi 120 minit seminggu daripada hanya 60 minit
. – Bernama

Tuesday, March 16, 2010

Pengukir Kayu Mah Meri tonjol Kemahiran di Washington DC

Pengukir Kayu Mah Meri Diberi Peluang Tonjol Kemahiran Di Washington



BANTING, 16 Mac (Bernama) -- Seorang pengukir kayu daripada Orang Asli Mah Meri akan dibawa ke Washington DC, Amerika Syarikat bagi menonjolkan keistimewaan kesenian ukiran kayu kaum itu di persada antarabangsa, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa.

Beliau berkata pengukir kayu itu akan diberi penghormatan besar semasa pameran "Showcase Malaysia Culture" dalam minggu pertama April ini di ibu negara Amerika Syarikat itu kerana mereka telah membuktikan kebolehan sehingga artifak mereka "Moyang Harimau Berantai" mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tempoh hari.

Pameran anjuran kerajaan itu akan turut mengetengahkan kesenian lain dan pengukir Mah Meri itu bukan sahaja akan mengukir artifak harimau berantai tetapi figurin lain yang memaparkan keindahan jiwa Orang Asli itu sendiri dan topeng, katanya selepas merasmikan Perayaan Moyang yang disambut oleh kaum Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey dekat sini.

"Kraf orang Asli kian lama kian laku tapi masalahnya bahan kayu nyireh di sini telah kehabisan. Jadi kita perlu cari bahan-bahan kayu yang sesuai dan baru," katanya.

Rais berkata dalam Festival Kraf yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, hasil kraftangan ukiran Orang Asli mendapat sambutan apabila berjaya mencatat jualan melebihi RM16,000 dalam tempoh seminggu, merupakan satu habuan yang besar.

"Ini testimoni kepada kejayaan mereka. Oleh sebab itulah kita akan berusaha dengan rakan-rakan kementerian membuka kedai Orang Asli dan mereka juga akan kita bawa dalam arena membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata kesinambungan hidup Orang Asli perlu diberi nilai baru dan pihak kementerian akan meneruskan projek pembangunan kraftangan di sini.

"Projek seni budaya dan membina semangat 1Malaysia itu perlu dilaksanakan agar masyarakat orang Asli, sebagai kaum minoriti tidak akan ketinggalan. Setiap tahun kita akan datang ke mari dan akan melakukan program- program bantuan serta bimbingan," katanya.

Beliau juga berkata akan memaklumkan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai keperluan jalan raya di kampung itu yang diminta oleh penduduk.

Selain itu, pembinaan sebuah dewan di kampung itu yang sedang berjalan akan dipastikan siap, katanya.

Pada majlis itu, Rais sempat menyertai tarian Jo'oh Mah Meri yang merupakan persembahan yang menjadi gimik pelancaran Hari Moyang.

Ketika berucap, Tok Batin Sidin Bujang berkata sempena Hari Moyang pada hari ini, masyarakat Mah Meri akan bersembahyang pada sebelah pagi dan memohon restu daripada nenek moyang mereka.

Mereka juga dilarang membunuh binatang dan merosakkan tumbuh-tumbuhan selama tiga hari berturut-turut sempena perayaan itu.

Agensi kementerian seperti Jabatan Penerangan Selangor turut bersama melakukan program pengisian gagasan 1Malaysia menerusi acara tarian yang memaparkan kebudayaan pelbagai bangsa dan juga masyarakat orang Asli.

Monday, March 15, 2010

Pengambilan Baru Institut Kraf Malaysia

Sesi Pengambilan Baharu Institut Kraf Malaysia

Dengan bangganya ingin saya menguar-uarkan kepada muda-mudi yang mempunyai minat dalam bidang berkemahiran agar dapat mengikuti program di Institut Kraf Negara (IKN) di peringkat diploma dan sijil untuk sesi Julai dalam bidang seni kraf batik, tenunan, seramik, kayu, logam dan rotan.

Permohanan kini dibuka kepada mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf, menurut kenyataan IKN.

Borang permohonan disediakan di IKN, No. 1, KM 20 Jalan Ipoh-Rawang, Taman Rekreasi Templer, 48000 Rawang, Selangor.



Keterangan lanjut: sila telefon 03-6091 5322, faks 03-6092 6072, atau layari laman web http://www.kraftangan.gov.my dan http://ikn.gov.my

Thursday, March 11, 2010

Gugur jika gagal lapor diri.....guru baru?

Guru baru gagal lapor diri akan digugurkan - Puad

KUALA TERENGGANU 11 Mac – Para pendidik yang baru tamat pengajian tetapi gagal melaporkan diri untuk berkhidmat mengikut tarikh yang ditetapkan akan menghadapi tindakan digugurkan sebagai guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, meskipun kes tersebut adalah terpencil, namun amaran perlu dikeluarkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Kebanyakan guru tidak menolak untuk ke pedalaman cumanya ada segelintir sahaja guru yang kita suruh pergi, dia tak mahu pergi. Isu kekurangan guru berpunca daripada guru opsyen.

"Guru opsyen ini seperti guru Sejarah, Kemahiran Hidup dan Bahasa Inggeris. Kebanyakan mereka berpindah tetapi tidak ada ganti.

“Kalau contohnya seorang guru itu sanggup ke pedalaman memandangkan ia kampung halamannya, kalau dia mengajar agama, guru itu tidak boleh mengajar Bahasa Inggeris kerana standardnya tidak akan sama seperti yang kita (kementerian) mahukan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan majlis penyampaian sijil kepada lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, dekat sini.

Mohd. Puad berkata, guru yang digugurkan bagaimanapun masih boleh membuat rayuan dengan mengemukakan bukti dan alasan yang boleh menjadi pertimbangan kepada pihak kementerian untuk dikekalkan sebagai guru. – Bernama

Tuesday, March 9, 2010

Giliran Guru ke luar bandar ?

Guru patut bergilir ke luar bandar

KUALA LUMPUR 8 Mac - Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

"Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik sahaja guru berkenaan ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya," katanya.

"Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar," katanya.

Katanya, NUTP yang mewakili 160,000 guru "menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar."

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.

Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500. - Bernama

Insentif menggalakkan guru bekerja keras

Pemberian insentif galak guru bekerja keras - NUTP

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pemberian insentif kepada semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa dianggap sebagai langkah yang tepat pada masanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pengumuman tersebut adalah inisiatif yang akan membakar semangat kepada guru untuk terus bekerja keras.

"Ini adalah sesuatu yang menarik, saya cukup bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan kecemerlangan dalam bidang pendidikan terus dilakukan oleh guru-guru.

"Sebelum ini hanya pengetua atau guru besar yang dapat insentif daripada kejayaan yang dihasilkan oleh sekolah, jadi ini tidak sepatutnya kerana kejayaan datangnya daripada kesungguhan guru yang ditugaskan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk memberi insentif termasuk kenaikan pangkat kepada guru yang terlibat meningkatkan pencapaian sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Menurut Muhyiddin, maklumat berhubung pelaksanaan insentif baru itu akan diperincikan menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah yang akan diumumkan pada 16 Mei ini.

Sementara itu tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula berkata, pemberian insentif ini kena pada tempatnya kepada guru-guru yang bekerja keras.

"Ini adalah pengiktirafan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang tidak henti-henti mahukan kejayaan daripada anak didiknya, pengiktirafan ini perlu diberikan kepada golongan guru-guru tersebut.

"Dengan adanya insentif tersebut, kejayaan yang direncanakan oleh guru-guru terbabit akan dianggap satu kejayaan yang begitu besar dan paling bermakna," ujarnya.

Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Profesor Madya Dr. Mohd. Ali Hassan pula, pihaknya begitu menyokong dengan pengiktirafan yang telah dicadangkan itu.

"Sebenarnya guru-guru lain juga memberi kesungguhan mereka terhadap sesuatu kejayaan yang telah dikecapi, tidak adil bagi saya jika hanya pengetua atau guru besar yang dapat pengiktirafan.

"Tanpa kerjasama guru-guru, kejayaan mungkin tidak akan dikecapi oleh pihak sekolah," katanya.

utusan online

Saturday, March 6, 2010

Insentif Kepada Semua Sekolah

Semua Sekolah Tingkat Prestasi Akan Dapat Insentif: TPM

SLIM RIVER, 6 Mac (Bernama) -- Pengetua, guru besar dan semua guru sekolah bukan dalam kategori Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang berjaya meningkatkan prestasi akan turut diberikan insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pemberian insentif itu akan diberikan kepada semua sekolah sama ada di bandar dan luar bandar yang telah menunjukkan kecemerlangan.

"Insentif akan diberikan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan seperti kenaikan pangkat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan warga pendidik Daerah Batang Padang di Politeknik Sultan Azlan Shah dan melancarkan Program Juara Rakyat peringkat negeri Perak di Taman Tasek YDP di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau akan mengumumkan secara terperinci mengenai insentif khas berkenaan pada sambutan Hari Guru tahun ini. Sambutan Hari Guru ialah pada bulan Mei.

Beliau berkata pemberian insentif itu akan melalui kriteria yang akan ditentukan dan akan mengambil kira juga kedudukan sekolah terutama bagi sekolah-sekolah luar bandar.

Muhyiddin berkata pemberian insentif berkenaan diperluaskan kepada semua guru sekolah terbabit kerana kejayaan sesebuah sekolah itu meningkatkan prestasi bukan hanya bergantung kepada pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

"Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan...ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu. Tetapi kalau meningkat sedikit pun, kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu. Kalau meningkat semua dapat kredit," katanya.

Beliau berkata sebuah sekolah yang mempunyai kepimpinan yang baik boleh dinilai apabila walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian dan sudah tentu ia akan diiktiraf.

Sementara itu katanya beliau juga akan mengumumkan secara terperinci mengenai pemberian insentif kepada swasta yang membuka kelas-kelas pra-sekolah minggu depan.

Katanya, geran pelancaran itu bukan bagi pembinaan bangunan tetapi ia bertujuan membantu mencapai matlamat memastikan 67 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan tahun ini mempunyai pendidikan asas.

Selain memberikan geran berkenaan, kementerian juga akan membantu melatih guru-guru yang ditempatkan di semua pra-sekolah terbabit, kata beliau.

Dalam perjumpaan dengan warga pendidik sebelum itu, Muhyiddin berkata para guru perlu berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan.

Beliau berkata langkah kementerian memperkenalkan SBT adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Pengurusan Sukan Sekolah

Struktur pengurusan sukan sekolah dirombak

PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran akan merombak struktur pengurusan sukan di sekolah-sekolah dengan menubuhkan satu bahagian baru yang khusus untuk memperkasakan aktiviti bidang itu di kalangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui langkah itu, sukan yang sebelum ini diletakkan bersama aktiviti seni dan kokurikulum akan diasingkan.

Menurutnya, perubahan itu sejajar dengan langkah terbaru kerajaan menetapkan dasar ‘satu pelajar satu sukan’ iaitu mewajibkan setiap pelajar sekurangnya-kurangnya aktif dalam satu jenis sukan.

‘‘Kita sudah bincangkan perkara ini dalam satu jawatankuasa ad-hoc bersama-sama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum dan kita putuskan supaya satu bahagian baru diwujudkan.

‘‘Ia tidak lagi disatukan dengan kegiatan seni dan kokurikulum dan disebabkan itu tumpuan dapat diberikan kepada bidang sukan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Pada 21 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan kementerian tersebut akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan.

Selaras dasar baru itu, beliau berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Muhyiddin, kementerian turut menimbangkan untuk memberikan elaun kepada tenaga pengajar sukan dari badan-badan dan persatuan sukan yang dapat membantu pihak sekolah.

‘‘Kita boleh buat ikatan hubungan strategik dengan badan-badan sukan kerana ketika ini jumlah guru sukan masih belum mencukupi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa bidang sukan seharusnya tidak lagi dilihat sekadar kegiatan kokurikulum sebaliknya sebagai satu bentuk kurikulum yang perlu ditekankan di sekolah-sekolah.

Katanya, sukan boleh menjadi satu komponen yang bukan setakat satu bentuk aktiviti malah dapat membentuk hubungan kemanusiaan dan ia merentasi soal ras serta kaum.

utusan online

Friday, March 5, 2010

Ilmu Astronomi


Pelajari Ilmu Astronomi Di Menara Alor Setar



ALOR SETAR, 4 Mac (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu astronomi, sekaligus menjadikannya subjek riadah untuk seisi keluarga di Menara Alor Setar di sini, bermula Khamis hingga Sabtu.

Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mazlan Mahmud berkata, program Eksplorasi Angkasa Menara Alor Setar itu, bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai bidang astronomi melalui beberapa aktiviti seperti pengenalan roket air, teleskop dan astro-fotografi, sains dan angkasa.

"Peserta juga dapat mendekati keajaiban angkasa lepas dengan penglihatan melalui teropong jauh dan dengan mencerap ke langit beberapa sudut gambaran menarik dapat dirakamkan yang dikenali sebagai astro-fotografi.

"Selain itu, penganjur juga dapat menyampaikan maklumat mengenai ilmu falak yang juga dikenali sebagai ilmu kaji bintang dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian program berkenaan, di sini hari ini.

Katanya, antara program yang berlangsung hari ini ialah pertandingan pelancaran Roket Air yang menawarkan hadiah RM200 untuk juara, naib johan (RM100) dan tempat ketiga (RM50).

Mazlan berkata, kira-kira 50 peserta menyertai pertandingan itu dengan yuran pendaftaran sebanyak RM25 untuk setiap pasukan yang dianggotai lima orang.

Selain itu, katanya, bagi acara Star Track Camp, ia terbuka kepada kanak- kanak 13 tahun ke atas dengan bayaran RM60 seorang dan peserta akan dibawa bermalam di Pusat Sains Negara Wilayah Utara serta diberi peluang melakukan aktiviti pencerapan esok.

Beliau berkata, program-program lain yang telah diatur ialah ceramah serta bengkel penerangan tentang ilmu angkasa, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pameran dan gerai-gerai jualan.

Semua program telah disusun dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia, Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Kedah, Pusat Sains Negara Wilayah Utara dan Jabatan Pendidikan Negeri, katanya.

Tuesday, March 2, 2010

Program Memperbaiki Sekolah-sekolah

PIBGN, NUTP Sambut Baik Cadangan Program Memperbaiki Sekolah-Sekolah

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pada Selasa menyambut baik cadangan untuk mewujudkan Program Memperbaiki Sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar dan pedalaman.

Presiden PIBGN Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan ketika dihubungi Bernama berkata kebanyakan sekolah di kawasan berkenaan masih jauh ketinggalan dan terpinggir berbanding sekolah di bandar.

Bagi memastikan program itu berjalan lancar, Mohamad Ali berkata semua pihak termasuk sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus bekerjasama untuk menyenaraikan keperluan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihubungi pada Selasa mengumumkan cadangan untuk mewujudkan Program Memperbaiki Sekolah-sekolah bagi membantu meningkatkan tahap pencapaian kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata program berkenaan akan ditumpukan kepada sekolah-sekolah yang tahap pencapaiannya kurang memberangsangkan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu Mohamad Ali juga mencadangkan supaya pemantauan rapi dilaksanakan setiap tiga hingga enam bulan sekali untuk memastikan program berkenaan tidak terbengkalai dan mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat.

Mengenai imbuhan kepada pengetua, guru besar serta guru yang berjaya meningkatkan tahap pencapaian sekolah masing-masing menerusi program berkenaan, sama seperti yang diberikan kepada pentadbir sekolah itu di bawah Sekolah Berprestasi Tinggi, beliau berkata ia juga wajar dipanjangkan kepada kepimpinan PIBG.

"Ini kerana kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja disumbang oleh pelajar, guru-guru itu sendiri, tetapi juga PIBG," kata beliau.

Sementara itu Presiden NUTP Hashim Adnan berharap supaya sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan akan menerima peruntukan itu secepat mungkin dan tidak terhad kepada sekolah-sekolah tertentu sahaja.

Mengenai imbuhan yang akan diberikan kepada pengetua, guru besar serta guru yang berjaya meningkatkan tahap pencapaian sekolah masing-masing, Hashim berpendapat ianya akan menjadi galakan untuk mereka bekerja keras supaya matlamat itu tercapai.

Monday, March 1, 2010

Kem Alami

Angkasa Adakan Kem Alami Mulai 14 Mac

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Agensi Angkasa Negara (Angkasa) akan mengadakan program Kem Alami mulai 14 hingga 16 Mac ini bagi menarik lebih ramai pelajar meminati bidang sains angkasa.

Program berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam dan terbuka kepada murid berumur 10 hingga 12 tahun itu akan diadakan di Planetarium Negara.

Bertemakan sains angkasa, tujuan utama program ini adalah memberi peluang kepada murid berekreasi dalam suasana sains angkasa sambil menimba pengetahuan, kata Angkasa dalam kenyataan di sini Isnin.

Kenyataan itu berkata ia juga sebagai transformasi pembelajaran subjek astronomi dan sains angkasa yang dipelajari di sekolah yang akan mendekatkan lagi pelajar realiti sebenar bidang angkasa.

Pelbagai aktiviti dirancang untuk program itu seperti 'Lets Fly to Space', 'Mars Treasure Hunt', 'Zoo In The Sky' dan Pencerapan Musytari.

Penyertaan adalah terhad dan tarikh tutup ialah 12 Mac ini. Mereka yang berminat boleh menghubungi 03-22734303 atau melayari portal www.angkasa.gov.my/planetarium.

DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017