adsense

Monday, November 30, 2009

Budak Genius - setanding Picasso pelukis agung

Budak setaraf Picasso jual lukisan RM57,664


KIERON WILLIAMSON bersama sekeping lukisannya di Holt, London baru-baru ini.


HOLT - Seorang budak lelaki, Kieron Williamson dilabel genius dan setanding dengan pelukis agung, Picasso walaupun cuma berusia tujuh tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Penghormatan itu diberikan setelah Williamson berjaya menjual beberapa lukisannya pada harga £17,000 (RM57,664) dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Peminat-peminat lukisan dari jauh termasuk Jepun dan Kanada membayar lebih AS£1,000 (RM5,587) untuk setiap daripada 16 lukisan cat air koleksinya.

"Dia hebat. Pelukis terakhir yang setanding dengannya ketika usia muda ialah Picasso," kata pemilik galeri yang mempamerkan lukisan budak itu, Adrian Hill.

Pada pertengahan tahun ini, satu lelongan hasil seni Williamson turut mendapat sambutan hangat apabila 19 lukisannya berjaya dijual pada harga £14,000 (RM78,219).

"Hebat. Pada mulanya saya menyangka dapat menjual cuma satu atau dua lukisan. Melukis adalah hobi saya tetapi saya juga gemar menonton perlawanan bola sepak," katanya. - Agensi

Sunday, November 29, 2009

Pengopek Kelapa



Inilah wajah pengopek kelapa ciptaan seorang peniaga santan.








Beliau boleh dihubungi melalui nombor telefon seperti yang tertera.







Salah seorang pekerja sedang mengopek kelapa.





Gambar dibawah ini menunjukkan kelapa parut dimasukkan kedalam mesin untuk mendapatkan santan. Inilah tuan punya pengopek kelapa dan merupakan pereka cipta pengopek kelapa tersebut. Beliau berkata dengan adanya pengopek kelapa ciptaannya kerja-kerja mengopek kelapa dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan. Beliau juga berharap jika ada sesiapa punyai idea untuk memasukan mesin keatas alat ciptaannya adalah dialu-alukan. Dimana kedai beliau ? Lokasi kedai Nizam Santan Segera terletak di Kampung Gaung,Lati Pasir Mas,Kelantan. Jika ada tempahan bolehlah hubungi nombor telefon diatas.

Saturday, November 28, 2009

Hari Raya Korban Kini Datang Lagi






Setiap tahun umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban dengan meriahnya.Hari raya ini disambut dengan mengorbankan haiwan ternakan seperti lembu ,kambing dan biri-biri. Namun korban ini tidak dapat dijalankan tanpa kemahiran kerana seekor lembu perlu direbahkan dan diikat kakinya. Setelah itu barulah lembu tersebut boleh disembelih dan dilapah kulitnya. Sesudah proses membahagi daging,tulang dan lain-lain kepada tujuh bahagian boleh dijalankan. Jadi upacara korban ini perlu diperturunkan kepada generasi hari ini agar kemahiran merebah ,mengikat kaki, menyembelih, melapah dan membahagi daging lembu dapat dilaksanakan sepanjang masa dan sampai bila-bila...InsyaAllah.

Tuesday, November 24, 2009

Pesanan Penaja - No Compromise for Mister Potato Fiesta 2009

Peraduan Nombor 1 Mister Potato


Peraduan ini bermula sejak awal November 2009, tapi hari ini ada sedikit kesempatan untuk saya bercerita tentang MISTER POTATO dan berkaitan dengan peraduan ini. Sejak dulu lagi saya suka makan kerepek namun kerepek itu tidak menepati citarasa saya. Dulu saya beli satu pek saja MISTER POTATO tapi kini apabila ke pasaraya terasa ingin beli semua MISTER POTATO tapi em...em...em.. faham-faham ajelah banyak lagi barang yang hendak dibeli.

Sebut pasal MISTER POTATO ianya bukan sekadar kerepek kentang tapi punyai banyak khasiat untuk pemakanan tubuh kita. Antara ada sumber tenaga, protein, lemak dan karbohidrat. Diantara banyak-banyak perisa MISTER POTATO yang menjadi kesukaan saya adalah perisa tomato dan BBQ, kalau tak percaya lihat gambar atas tuu...banyakkan saya beli MISTER POTATO.....gurau aje........



Sejak saya dapat emel dari Nuffang Malaysia tentang Peraduan No 1 MISTER POTATO saya terus melayari laman web berkenaan. Tetapi belum sempat saya menghabiskan level 1 saya telah terlupa username dan password menyebabkan saya masih belum berkesempatan masuk dalam laman berkenaan....
Jika ada kawan-kawan yang berhajat nak menyertai peraduan ini bolehlah masuk ke laman www.misterpotato.com.my . Cepat-cepat tarikh tutup pada 27 November 2009.
Apa-apa pun MISTER POTATO tetap menjadi pilihan saya. MISTER POTATO memang power.....

Sunday, November 22, 2009

Usahawan Pilihan

Khazali usahawan perabot


KHAZALI YAHYA


DIA pernah berhenti sekolah beberapa kali akibat kesusahan yang dialami keluarga. Pengalamannya membanting tulang empat kerat demi mengusahakan sawah padi milik ibu bapanya ketika rakan sebaya yang lain bersekolah tidak pernah disesali.

Memandangkan dirinya tidak berpelajaran tinggi dan hanya tamat tingkatan tiga di Sekolah Menengah Agama Sungai Limau, Yan, Kedah, pada suatu hari seorang kenalan bapanya dari Alor Setar datang ke rumah untuk membawanya bekerja.

Riak gembira terpancar pada wajah Khazali Yahya kerana dia tahu kedatangan kenalan bapanya itu, Pak Omar umpama pembuka rezeki buat dirinya. Azamnya hanya satu iaitu mahu mengubah nasib diri dan keluarga.

Khazali kemudian gigih mempelajari selok-belok pembuatan perabot bersama Pak Omar selama dua tahun sebelum berubah angin bekerja di sebuah kilang di Guar Cempedak selama 10 tahun. Semua itu akhirnya menjadi titik tolak kepadanya untuk membuka sebuah bengkel perabot sendiri dengan nama Khazali Perabot.

Dengan modal permulaan sebanyak RM6,000, pemilik Khazali Perabot, Khazali, 58, boleh berbangga dengan pencapaiannya sekarang setelah menghambakan diri dalam industri perabot selama 23 tahun. Pendapatannya kini mencecah RM1 juta setahun.

Bagaimanapun, Khazali mengakui untuk membina nama dalam industri perabot dan perkayuan bukanlah mudah. Dia mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan bersama isteri tanpa sebarang bantuan.

"Ketika itu, dengan berbekalkan mesin pemotong kayu, saya dan isteri, Rosnah Abdul Razak, 54, bekerja siang dan malam demi meneruskan kehidupan untuk membesarkan lima orang anak.

"Tempahan yang diterima juga amat terhad kerana masih belum mempunyai pelanggan dari luar dan hanya mengharapkan penduduk kampung," katanya.

Berkat kerja keras Khazali, akhirnya pada tahun 1991, namanya mula dikenali terutama dalam kalangan penduduk negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang dan Perlis.


SET perabot dapur dan almari yang dihasilkan syarikat Khazali Perabot di Sungai Limau, Yan, Kedah.


Bantuan agensi kerajaan

Namun begitu, kejayaannya dalam bidang tersebut turut disumbang oleh tunjuk ajar dan bantuan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

"Saya pernah mengikuti kursus-kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Ia banyak memberi khidmat nasihat, selain membuat promosi di ekspo-ekspo besar dalam negara dan pemberian bantuan kewangan.

"Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh MTIB. Tanpa pertolongan mereka, saya tidak mampu untuk sampai ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Khazali kini menggaji 20 orang pekerja dan beroperasi di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam, Yan. Dia berhasrat untuk menjadikan kesemua pekerjanya sebagai usahawan sama sepertinya.

"Sampai bila nak bekerja makan gaji? Saya rasa semua pekerja di Khazali Perabot mampu pergi jauh. Malah ada antaranya telah pun berjaya membuka bengkel perabot sendiri," jelasnya.

Menyentuh kelebihan yang ada pada Khazali Perabot, katanya, kesemua perabot di situ dibuat mengikut kreativiti sendiri dan paling penting ia mengikut peredaran zaman.

Jelas Khazali lagi, syarikat yang diusahakannya itu membuat perabot berdasarkan tempahan pelanggan.

Biasanya, pelanggan-pelanggan yang ingin membuat tempahan akan datang sendiri ke ruang pameran sebelum perbincangan mengenai harga dan sebagainya dibuat bersama-sama.

Khazali juga akan menghantar kakitangan untuk mengukur bahagian-bahagian rumah seperti yang telah dibincangkan. Setelah siap, syarikat akan menghantar serta memasangnya.

Antara jenis perabot yang dihasilkan ialah almari baju, kabinet dapur, almari perhiasan dan rak-rak serbaguna.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Khazali di talian 012-4310685 atau faks ke 04-4255639.

Jelajah industri kayu

Dalam perkembangan lain, MTIB telah menganjurkan lawatan pertama kali ke Kedah dengan membawa 32 orang yang terdiri daripada kakitangan MTIB, pihak bank dan pengamal media. Ia bertujuan memperkenalkan industri perkayuan negara yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengarah Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Korporat MTIB, Noor Laila Mohamed Halip berkata, lawatan itu diadakan untuk menyampaikan maklumat terkini tentang kemajuan dan prestasi kepelbagaian produk kayu.


DUA pekerja kilang Khazali sedang menyiapkan perabot yang ditempah khas oleh pelanggan.


"Kali ini MTIB memilih Kedah kerana ia mempunyai ramai usahawan dalam bidang perkayuan," katanya ketika ditemui pada Lawatan Mengenal Industri Perkayuan dan Mini Treasure Hunt MTIB bersama wakil media dan institusi kewangan.

Noor Laila turut menyatakan pihaknya menyumbang sebanyak RM40,000 kepada Khazali Perabot dalam bentuk geran yang diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.

"Biasanya ada dua jenis bantuan yang akan diberikan iaitu dalam bentuk bahan mentah dan mesin. Bagaimanapun, apa juga jenis bantuan yang diberikan dalam bentuk wang, ia tidak dinamakan atas nama pemilik syarikat, tetapi akan diberikan kepada pembekal bahan-bahan yang dibeli oleh syarikat itu," katanya.

Dalam lawatan selama tiga hari bermula 27 hingga 30 Oktober lalu, peserta berpeluang melawat beberapa kilang kayu serta perabot di serata Kedah termasuklah Malaysia Wood Industri Sdn. Bhd. (Sungai Petani), Khazali Perabot (Yan) dan NHL Indah Enterprise di Kodiang.

Saturday, November 21, 2009

Motor Arus Terus ( DC )

Motor arus terus (DC)

KEBANYAKAN DC Motor atau motor arus terus mempunyai dua wayar iaitu positif dan negatif (+) dan (-) bagi mengaktifkan fungsi.

Saiznya adalah berbeza mengikut penggunaan dan kekuatannya, namun cara ia berfungsi tetap sama.

DC motor yang bersaiz kecil mempunyai kekuatan yang rendah, makin besar saiznya, maka makin tinggi kekuatannya.

Setiap motor ini boleh diadaptasikan kepada penggunaan alatan lain mengikut kesesuaian dan kreativiti seseorang.

Motor kipas radiator

Motor kipas radiator kereta boleh didapati di kedai aksesori kereta baru atau terpakai.

Ia menggunakan bateri 12v bagi memusingkan kipasnya yang besar dengan laju.

Motor power window

Motor power window digunakan untuk menaik dan menurunkan cermin tingkap kenderaan. Mengunakan bateri 12v.

Motor pengelap

Kebanyakan motor wiper (pengelap cermin kenderaan) digunakan untuk kenderaan kereta, lori dan bas. Saiznya berbeza namun penggunaannya adalah sama. Ia menggunakan bateri 12v.

Miniature motor

Kebanyakan motor kecil digunakan dalam industri permainan kanak-kanak. Ia menggunakan bateri 1.5v - 9v.

Sumber : utusan online

Thursday, November 19, 2009

Guru Muda jadi Pengetua atau Guru Besar

Guru muda berpeluang jadi pengetua

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada perubahan kenaikan pangkat pengetua dan guru besar.

Idea orang muda lebih ke depan?
Bagaimanapun, guru senior tidak harus dilupakan kerana gabungan kedua-duanya jamin kecemerlangan


BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada perubahan kenaikan pangkat pengetua dan guru besar.

Kini ia tidak lagi tertakluk kepada faktor kekananan, tetapi mengambil kira pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, enam teras NKRA ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan ba'iah baru kepada pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan KPI sekolah masing-masing.

Alimuddin berkata, antara elemen utama dalam KPI peringkat sekolah rendah ialah semua murid normal yang bersekolah dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki tahun empat, sasaran 100 peratus murid celik huruf serta kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

Di peringkat sekolah menengah, KPI akan menumpukan perhatian antara lain kepada bidang kebitaraan (nitch area) masing-masing serta kejayaan yang dicapai termasuk peringkat antarabangsa.

Ramai menyokong dasar itu kerana sudah sampai masanya perubahan baru dilakukan bagi memantapkan sistem pendidikan di negara ini.

Namun, sejauh mana pelaksanaan dasar itu membantu dalam pentadbiran dan kecemerlangan sekolah?

Apakah faktor kekananan yang diguna pakai selama ini tidak efektif dalam pemilihan pengetua dan guru besar sehingga ia perlu dirombak?

Selain itu, tidakkah dengan pelaksanaan dasar ini akan memberi impak negatif terutama kepada guru senior?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata kaedah baru pelantikan pengetua dan guru besar itu satu langkah yang baik.

Beliau berkata, langkah itu memastikan sesiapa yang dipilih menerajui sesebuah sekolah adalah mereka yang cemerlang dan mempunyai rekod yang baik.

"Kemampuan seseorang dalam menerajui sebuah institusi pendidikan terutama sekolah adalah penting kerana ia ibarat tonik kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah.

"Jadi, dasar ini akan mewujudkan lebih banyak sekolah cemerlang dan setaraf dengan sekolah bertaraf dunia.

"Namun, faktor kekananan yang diguna pakai sekarang tidak perlu diluputkan sebaliknya digabungkan dengan pelaksanaan dasar baru ini iaitu cemerlang dan berpengalaman," katanya.

Azam berkata, faktor kekananan yang diguna pakai selama ini bagus, tetapi sudah sampai masanya ia perlu diubah.

"Jika dilihat, menerusi faktor kekananan ini, seseorang pengetua dan guru besar itu dilantik berlandaskan senioriti dan tempoh perkhidmatannya.

"Jadi, walaupun tidak punya KPI yang tinggi atau cemerlang, mereka boleh memegang jawatan itu.

"Ia akan menafikan hak mereka yang cemerlang dan mampu menaikkan prestasi sekolah," katanya.

Faktor itu, katanya, sangat merugikan bukan saja kepada masa depan sekolah dan pelajar, tetapi pendidikan negara.

"Seseorang yang cemerlang pastinya mempunyai visi dan misi. Jika tidak mendapat peluang hanya kerana tempoh perkhidmatan, sedangkan mereka layak, kita kerugian.

"Justeru, jika mereka diberi peluang menjadi pengetua atau guru besar, potensi sesebuah sekolah lebih cemerlang amat besar," katanya.

Sudah lumrah, sesuatu dasar yang diubah pastinya ada kebaikan dan keburukan.

Perkara itu dipersetujui Azam kerana sesuatu dasar itu perlu diubah mengikut perkembangan semasa.

"Kita sudah lama merdeka dan perlukan perubahan.

"Perubahan ini tidak merugikan sesiapa sebaliknya memberi keuntungan terutama dalam meningkatkan prestasi sekolah," katanya.

Menurutnya, perubahan itu akan menjadikan sektor pendidikan di negara ini setaraf dengan sekolah di luar negara.

Sebagai guru yang 32 tahun menjadi pendidik, Azam meminta pelaksanaan dasar ini tidak meninggalkan kesan yang negatif kepada sesiapa terutama guru.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata perubahan itu adalah tindakan yang bagus.

"Seseorang pengetua atau guru besar perlu mempunyai kecemerlangan kerana ia adalah jaminan kepada sebuah sekolah yang terbaik.

"Mereka yang dilantik juga perlu mempunyai kepemimpinan dan kreativiti yang tinggi selain pemikiran baru bagi menaikkan taraf pendidikan di negara ini," katanya.

Menurutnya, jika guru muda berkemampuan dan cemerlang, mereka boleh dilantik menjadi guru besar atau pengetua.

"Kini, ramai orang muda yang mempunyai kebolehan terutama pentadbir yang baik. Idea mereka kadangkala lebih ke hadapan untuk menjulang kecemerlangan sekolah.

"Secara tidak langsung, ia suatu motivasi kepada sesiapa saja untuk membuktikan kecemerlangan dan dilantik kerusi nombor satu di sekolah," katanya.

Katanya, jika orang muda dilantik sebagai pengetua atau guru besar, jangan pula melupakan guru berpengalaman atau senior kerana gabungan kedua-duanya menjamin kecemerlangan sekolah berterusan.

Wednesday, November 18, 2009

Taman Orkid

Taman orkid terbalik

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


Orkid digantung terbalik, menyerlahkan kreativiti dan kunikan laman.

Gubahan unik Laman Johor raih anugerah emas Floria 2009

GUBAHAN orkid yang digantung terbalik di atas para di dalam pondok kayu terbukti menjadi kelainan ditonjolkan Laman Kerajaan Negeri Johor, sehingga membolehkannya meraih anugerah Emas Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2009 (Floria 2009) yang berlangsung dari 1 hingga 9 Ogos lalu.

Teknik gantungan yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini bukan setakat menawan hati juri, malah pengunjung turut terpikat dengan keunikan berkenaan setiap kali melalui ruang yang menempatkan pameran laman jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di F

Lebih unik lagi, laman itu menggunakan hampir 80 peratus orkid yang didatangkan khusus dari Johor yang merangkumi pelbagai spesies orkid tempatan dan hibrid.

Bagaimanakah teknik gubahan itu dihasilkan? Orkid yang digantung ditanam dalam pasu kecil yang kemudian dibungkus dengan plastik hitam bagi mengelakkan tanah dalam pasu jatuh. Bunga berkenaan pula disusun rapat dan digantung terbalik di atas para khas dengan pelbagai warna seakan taman tergantung di tengah laman.

Bagaimanapun, orkid yang ditanam di atas tanah saja se­suai untuk menjadi hiasan gantung terbalik kerana ia tumbuh menegak manakala orkid liar yang suka me­­numpang pada dahan pokok tidak sesuai untuk penataan gaya sedemikian.

Gambar dari kiri, bangku dan terendak lampu kayu pelengkap hiasan laman. Batu sungai dan kerikil menambah seri laman. Orkid jadi tema laman Johor Darul Takzim.

Pondok kayu dengan tiang empat di tengah-tengah nampak ringkas tetapi praktikal untuk kawasan laman yang sederhana besarnya sesuai menjadi tempat istirahat sekeluarga pada waktu petang atau ruang bermain anak kecil, juga tempat membaca di waktu petang.

Bagi melengkapkan pondok serta melindungi cahaya matahari, bidai buluh diletak­kan di sisi pondok, manakala di sebelah kiri dan kanan pondok diletakkan bangku kayu serta terendak lampu kayu untuk menerangkan lampu pada waktu malam.

Ketua Juri Laman Floria 2009, Noriah Mat, berkata laman berkenaan dipilih menerima anugerah emas bukan hanya kerana keunikan orkid yang digantung terbalik semata-mata tetapi ia menepati ciri-ciri laman yang baik seperti mempunyai landskap menarik serta penca­hayaan yang sesuai.

"Ciri-ciri mapan juga jelas pada reka bentuk laman ber­kenaan dan kreativiti reka bentuk laman juga menyebabkan ia layak menerima anugerah emas," katanya.

Pelbagai spesies orkid menyerlahkan laman Johor Darul Takzim.

Selain orkid, laman berke­naan dilengkapi tumbuhan seperti paku pakis, tanduk rusa, paku pandan, palas, pokok kelapa dan beberapa spesies palma.

Ciri-ciri landskap kejur termasuk batu kerikil dan sungai yang dihias berselang seli dengan pokok renek manakala landskap lembut terdiri daripada pelbagai pokok memanjat termasuk paku pakis ditanam di tepi tembok.

INFO: Orkid

  • Ada 880 jenis dengan 22,000 spesies.

  • Pokok orkid atau orchidaceae ialah keluarga bunga yang memiliki banyak perbezaan pada bentuk serta rupa pokok.

  • Antara paling popular ialah Dendrobium, Onci­dium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Renanthera dan Phalaenopis manakala gen kacukan yang dihasilkan menerusi kaedah teknologi botani ialah Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.

    n
  • Baka lain hasil kacukan ialah Doritaenopsis, Holtumara, Kagawa, Laycockara, Limara, Mokara, Renantanda, Renanstylis, Renanthopsis,Rhyncovanda, Teohara, Vandaenopis, Vandachnis dan Vascostylis.

  • Antara jenis gen hibrid yang popular ialah Aranda Chark Kuan dengan bunganya berwarna magenta, Aranda Chritie (bintik merah jambu), Aranda Iskandar (ku­ning), Aranda Kooi Choo (biru) dan Aranda Lum Chin (kuning).

  • Bunga orkid berasal daripada sepal, petal (kelopak), stamen dan pistil yang mempunyai daun urat selari. Gabungan stamen dan pistil dinamakan kolum. Di bahagian luar sepusar bunga ada tiga kelopak sepal manakala di sebelah dalamnya pula ada kelopak.

  • Petal ketiga berubah bentuk menjadi labelum atau bibir. Kolum mengandungi cepu debunga pada bahagian atas, stigma (tengah) dan benang sari (bawah).

  • Debunga terletak dalam pundi yang dipanggil polinia yang dalam bilangan genap, iaitu dua hingga 12. Ovari terletak di bawah sepal dan berfungsi sebagai tangkai bunga atau pedisel. Selepas persenyawaan, ovari akan membesar menjadi buah orkid yang mengandungi biji benih.

  • Umumnya, orkid boleh dibahagikan mengikut ciri pertumbuhannya iaitu simpodium dan monopodium. Orkid simpodium boleh tumbuh di atas pokok secara epifit atau atas tanah yang dipanggil terrestrial.

  • Orkid jenis ini mempu­­nyai rizom atau batang yang tumbuh rapat di permukaan pasu dan beberapa pucuk baru akan tumbuh dari bahagian ini, selain tangkai bunga akan keluar di hujung pucuknya. Contoh orkid Simpodium ialah Oncidium, Dendrobium dan Catteleya.
  • Monday, November 16, 2009

    Anyaman Kristal

    Meniup kaca kristal




    CAHAYA api yang keluar dari muncung penunu bunsen itu amat menyilaukan mata terutama bagi mereka yang tidak biasa dengan situasi tersebut.

    Namun dengan memakai kaca mata hitam, tiga pekerja di Kompleks Rembau Crystal Sdn. Bhd. tekun menyiapkan tugas mereka.

    Masing-masing lincah melakukan kerja-kerja menganyam kristal menggunakan api yang dicucuh pada rod kaca bagi menghasilkan bentuk kristal yang diingini. Walaupun suhu api yang menyala garang itu mencecah 1,000 darjah Celsius, tetapi mereka langsung tidak menghiraukan bahang yang dirasai.

    Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa begitulah keadaan pekerja yang ada di kompleks tersebut.

    "Sejak lebih setahun bekerja sebagai pelatih di Rembau Crystal ini, saya sudah lali dengan kepanasan ketika melakukan kerja-kerja menganyam kristal. Cuma, jika dibandingkan dengan pekerja di bahagian pembuatan kristal solid, keadaan di sini adalah lebih baik," ujar seorang pekerja wanita, Suhaiza Nordin.

    Menurut Suhaiza, teknik anyaman kristal sebenarnya satu tugas yang rumit kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri seseorang pekerja.

    "Pada mulanya saya sendiri tidak yakin melakukan tugas ini. Namun, selepas diberi tunjuk ajar hampir setahun oleh tenaga pengajar mahir yang digaji oleh pihak pengurusan Rembau Crystal, barulah saya dapat menguasai teknik ini dengan baik.

    "Selain menuntut kesabaran, tugas ini juga harus dibuat dengan teliti bagi menghasilkan produk kristal yang berkualiti," jelas Suhaiza.

    Kemahiran


    TEKNIK anyaman kristal memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.


    Selain Suhaiza, terdapat 24 lagi pekerja yang dikhususkan dalam penghasilan produk kristal berbentuk anyaman dan pembuatan kristal solid yang menggunakan teknik tiupan.

    Menurut Pengurus Rembau Crystal Sdn. Bhd., Hanif Maulud sehingga kini pihaknya telah berjaya melatih 25 remaja lepasan sekolah dalam kemahiran pembuatan kristal.

    "Semua pelajar telah dilatih hampir setahun oleh tiga pakar yang berpengalaman dalam pembuatan produk kristal. Mereka terdiri daripada anak tempatan yang mempelajari kemahiran membuat kristal di Ireland.

    "Ternyata hasilnya amat membanggakan kerana semua pelajar mampu menguasai teknik pembuatan kristal dengan baik sekali gus menghasilkan produk yang berkualiti untuk dipasarkan," kata Hanif dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di Rembau baru-baru ini.

    Tambah Hanif, golongan remaja yang dilatih itu terdiri daripada mereka yang gagal untuk meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam negara.

    "Justeru, kewujudan Rembau Crystal secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk mempelajari kemahiran ini sekali gus memberi pekerjaan kepada anak-anak tempatan," tegasnya.

    Secara keseluruhan, terdapat empat teknik pembuatan kristal yang dipraktikkan di kompleks tersebut iaitu seni ukir kaca atau lebih dikenali sebagai anyaman kristal, meniup gelas, solid kristal dan quilling.

    Menurut Pengurus Operasi Rembau Crystal Sdn. Bhd., Zalian Mustapha Al-Bakri, 41, setiap teknik dikhususkan untuk pekerja tertentu bagi melancarkan proses penghasilan produk.


    PEKERJA yang meniup kaca perlu menggunakan kekuatan paru-paru untuk menghasilkan kristal yang berkualiti.


    Apakah yang paling sukar dalam menghasilkan produk kristal? Zalian berkata: "Secara peribadi, saya boleh katakan bahawa teknik meniup kaca paling susah. Ini kerana, pekerja di bahagian ini perlu menggunakan kekuatan fizikal dan paru-paru untuk meniup batang besi panas bagi menghasilkan kristal solid.

    "Selain itu, mereka juga terpaksa bekerja dalam suasana yang sangat panas kerana perlu membakar kristal palet untuk dicairkan sebelum dibentuk menjadi sesuatu objek mengikut tempahan. Disebabkan itulah semua pekerja di sini semuanya lelaki."

    Dari segi bahan pula, syarikat itu menggunakan bahan mentah yang diimport dari luar negara seperti Belanda, Jepun dan Jerman. Antara bahan yang digunakan ialah rod kaca kristal, silika, kristal palet dan sebagainya.

    Kaca cair

    Bagi Mohd. Nazri Yazid yang bekerja di bahagian pembuatan kristal melalui teknik meniup gelas, dia ada cerita menarik yang mahu dikongsinya.

    Kata remaja berusia 19 tahun itu, situasi paling mencabar dihadapinya sewaktu ingin mengambil kaca yang telah cair dan dia perlu mengawal bahan tersebut agar tidak jatuh.


    SET kristal yang sesuai digayakan di ruang tamu.


    "Sudahlah berhadapan dengan bahang api yang panas, kemudian saya perlu tahu menyelenggarakan bahan itu agar tidak jatuh ke lantai dengan cara memusing-musingkan batang besi yang dipegang. Ketika awal-awal dahulu, memang saya selalu gagal hingga saya hampir berputus asa.

    "Namun, berkat semangat yang gigih saya berjaya mengatasi masalah tersebut. Kini, saya gembira apabila melihat hasil kerja tangan sendiri mendapat pujian dan menerima sambutan yang menggalakkan dari orang ramai," tutur Nazri sambil menyeka peluh di dahinya.

    Anak muda itu turut mengakui mempunyai cita-cita untuk menjalankan perniagaan pembuatan produk kristal sendiri apabila berpeluang satu hari nanti.

    "Dengan kemahiran yang dimiliki, Insya-Allah, saya bercadang untuk membuka bengkel dan mengembangkan perniagaan berasaskan kristal ini. Walaupun saya tahu impian itu masih terlalu jauh untuk dicapai, tetapi saya tetap optimis mampu melakukannya," ungkap Nazri.


    Saturday, November 14, 2009

    Taman Idaman Pilihan Hati

    Taman Idaman

    BERPINDAH ke rumah baru memberi peluang mencipta taman mengikut keperluan, cita rasa dan keluasan ruang.

    BERPINDAH ke rumah baru memberi peluang mencipta taman mengikut keperluan, cita rasa dan keluasan ruang.

    Alangkah baik jika taman berkenaan dihiasi dengan pelbagai tanaman hiasan menarik.

    Pastinya anda sebagai pemilik mahu sentuhan lebih hidup dan segar dengan menyelitkan elemen air dalam taman untuk sudut ruang santai menarik dan praktikal.

    Elemen air paling penting dalam pembentukan taman bagi mengelak suasana kaku atau kurang menarik.

    Penggunaan sudut santai lebih maksimum dan selesa dicadangkan dengan sebuah kolam ikan berlatar dinding dibina bersambungan dengan sebuah pelantar kayu.

    Ia bagi memudahkan pemilik dan keluarga menggunakan ruang berkenaan dengan lebih kerap untuk bersantai pada hujung minggu.

    Pelantar kayu berukuran 16 kaki x 18 kaki daripada kayu cengal sesuai dibina sebagai ruang santai keluarga.

    Sementara itu, sudut kanan kediaman memberi pilihan kepada pemilik untuk membentuk ruang itu sebaik mungkin bagi memenuhi keperluannya bersantai.

    Pelbagai aksesori pilihan boleh disusun pada celah-celah susunan pokok berpasu di atas patio letak kereta dalam mencetuskan suasana menarik.

    Kolam ikan dibina seiring dengan pelantar kayu bagi mewujudkan kesinambungan reka bentuk ruang berkenaan.

    Bagi menimbulkan gaya bersahaja dan semula jadi, struktur daripada simenfero seakan-akan bongkah kayu pelbagai saiz dan kayu diletakkan di pinggir kolam.

    Bagi peminat seni taman dan landskap, simenfero bukan satu perkara baru kerana ia menggunakan bancuhan simen yang teliti.

    Antara elemen popular yang dihasilkan menerusi simenfero ialah bentuk kayu mati, kepingan batu pemijak, pasu bunga, jambatan kecil dan bongkah batu yang disusun untuk pembentukan binaan air terjun

    Kehadiran sebuah pasu besar di sudut kiri kolam dapat menghidupkan penampilan kolam.

    Pilihan beberapa jenis tanaman hiasan amat penting bagi menyuntik visual keindahan di sudut kolam atau pemandangan taman keseluruhannya.

    Sumber Harian Metro

    Thursday, November 12, 2009

    Kenali Bateri

    Asas elektrik dan elektronik (bateri)




    PENGENALAN
    Untuk siri ini, kita akan bermula dengan pengenalan inovasi elektrik-elektronik. Banyak perkara-perkara di sekeliling kita menggunakan elemen-elemen berkaitan elektrik dan elektronik.

    Bagi pembaca yang baru berjinak dengan dunia elektrik-elektronik ini, asas perkara ini amat penting untuk dipelajari dan difahami agar ia tidak menjadi satu perkara yang asing.

    Sekurang-kurangnya ramai di antara kita yang akan celik elektrik-elektronik.

    Bagaimana canggih sekali pun dunia siber sekarang, asasnya tetap sama.

    Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mempelajari sedikit sebanyak agar dapat menambah pengetahuan.

    Tenaga elektrik adalah nadi yang terpenting dalam menjana alatan elektrik dan elektronik.

    Oleh yang demikian marilah kita mengenali asas tersebut terlebih dahulu.

    Bateri 1.5v Volt) banyak digunakan untuk lampu picit, alat kawalan jauh televisyen, radio dan sebagainya.

    Bateri 12v biasanya digunakan untuk kenderaan seperti kereta dan lori. Walaupun saiznya berbeza namun ia tetap menjana tenaga sebanyak 12v.

    Bateri 6v digunakan pada motosikal dan bateri 9v digunakan untuk pelbagai alat.

    * Maklumat lanjut,

    sila lawati laman web www.zulldesign.com.my dan boleh e-melkan sebarang pertanyaan ke mail@zulldesign.com.my Minggu depan: Elektrik dan elektronik (Motor DC)

    sumber : utusan online

    Wednesday, November 11, 2009

    Bakat yang tersembunyi

    Ismail siapkan gong tiga hari

    Meskipun tidak mempunyai kemahiran pada awalnya, namun kematian seorang tukang pembuat gong menyebabkan Ismail nekad menjalankan perniagaan membuat gong.


    GONG-GONG yang dijual ini berharga RM200 sebiji.


    TIDAK terlintas di fikiran seorang tukang besi, Ismail Mohd. Akib, 46, untuk membuat gong. Namun idea itu datang setelah alat tersebut rosak sebelum beliau sempat melakukan persembahan dalam satu acara silat di Kampung Rendang Pasir Yan Besar, Yan, Kedah.

    Jika sebelum ini, beliau mendapatkan khidmat daripada seorang tukang gong di Pokok Sena tetapi setelah pembuatnya meninggal dunia, Ismail nekad untuk membuat gong tanpa bantuan sesiapa.

    Jelas Ismail, pada mulanya, beliau langsung tidak berminat dan mahu mempelajari teknik membuat gong tetapi akhirnya akur dengan desakan rakan-rakan yang mahu gong disiapkan secepat mungkin untuk persembahan pencak silat di kampung mereka.

    Menurutnya, beliau mula membuat gong sejak lapan tahun lalu dan tidak mengalami masalah untuk mendapatkan bahan-bahan asas bagi membuatnya.

    Ini kerana, katanya dia ada mengusahakan bengkel besi berdekatan rumahnya.

    "Kalau nak dapatkan bahan-bahan seperti besi, memang tiada masalah kerana semua kelengkapan dan peralatan besi sudah ada dan lengkap di bengkel.

    "Cuma, saya hanya perlu tahu cara membuatnya supaya bentuk dan bunyinya nanti tidak lari daripada yang asal," katanya.


    KELENGKAPAN dan peralatan besi sudah lengkap di bengkel Ismail sekali gus memudahkannya untuk menghasilkan gong yang berkualiti.


    Ismail mengakui, ketika kali pertama membuat gong, beliau merasakan amat susah kerana kurang mahir. Namun, setelah beberapa kali mencuba, akhirnya beliau berjaya melakukannya.

    "Susah memang susah... tetapi saya paksa juga diri untuk membuatnya. Akhirnya, saya kini semakin mahir membuat gong," katanya.

    Bercerita lanjut tentang cara-cara membuat gong, Ismail berkata, bahan-bahan yang perlu ada adalah kepingan besi yang berukuran 7.6x17.8 sentimeter (sm) dan alatan memotong besi.

    "Dengan menggunakan alat pemotong, kepingan besi dibentuk mengikut saiz gong yang dikehendaki sama ada 48.3sm, 43.2sm, 40.6sm dan 35.6sm sebelum dicantumkan dengan bingkainya.

    "Kebiasaannya, satu gong boleh disiapkan dalam masa tiga hari sahaja dan ia dibuat secara sambilan dan tidak sepenuh masa serta bergantung kepada tempahan," katanya.

    Buat masa ini, tempahan diterima daripada ahli-ahli persatuan silat sekitar negeri Kedah, manakala tempahan paling jauh pernah diterimanya dari Bangkok, Thailand.

    "Saya tidak melakukan pengiklanan kerana perniagaan ini dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tempahan yang diterima dari Bangkok itu pun diketahui melalui seorang rakan, iaitu setelah disebarkan dari mulut ke mulut," katanya.


    GENERASI muda perlu belajar membuat gong agar warisan ini tidak pupus ditelan zaman.


    Tambah Ismail, kalau boleh beliau ingin melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi lagi, selain bercita-cita mahu mempunyai kedai membuat gong sendiri memandangkan pada zaman kini, tidak ramai orang mengetahui cara pembuatannya.

    "Kalau ada kedai sendiri, saya tidak kisah nak berkongsi idea dan cara pembuatan gong kepada sesiapa sahaja kerana tak rugi kalau ada kemahiran membuat gong. Ini kerana kebanyakan orang muda tidak mengetahui cara membuatnya. Jika seni membuat gong tidak diwarisi, kemungkinan ia akan luput begitu sahaja .

    "Buat masa sekarang, saya amat berpuas hati dengan apa yang diperoleh dan bersyukur dengan 'anugerah' Tuhan kepada saya dalam kerja-kerja membuat gong," katanya.

    Menurutnya, gong-gong tersebut dijual pada harga RM200 sebiji dan untuk sebarang tempahan, boleh datang sendiri ke rumahnya atau menghubungi talian 019-557 7405.

    sumber Kosmo Online

    Sunday, November 8, 2009

    Keajaiban

    Bunga pelik





    Warna kelopak Yesterday, Today, Tomorow berubah ikut usianya

    NAMANYA amat unik - bunga Yesterday, Today, Tomorow selain turut dikenali Sunday Morning atau Morning Noon Night.

    Namun, bukan saja namanya pelik, malah bunga yang nama saintifiknya, Brunfelsia pauciflora juga mempunyai ciri unik kerana bunganya bertukar warna mengikut usianya iaitu semakin matang, semakin cerah warnanya.


    Bagaimanapun, bunga yang turut dikenali Brunfelsia biru ini dan dalam kategori kelompok renek, bukan saja menawan, tetapi berbau harum.

    Ciri-ciri ini menjadikannya antara bunga paling laris sebagai pilihan menghias laman.

    Bunga daripada keluarga Solanaceae yang turut mempunyai 30 spesies lain dalam kategori sama, dikatakan berasal dari Brazil biarpun ada jurnal botani mendakwa ia berasal dari Afrika Selatan.



    Bagaimanapun, biarpun profil asal di dua negara itu, bunga Yesterday, Today dan Tomorrow ini banyak ditemui di laman kediaman di Asia dan kawasan beriklim tropika di Amerika tengah dan Selatan.

    Sekali imbas ia seperti bunga melur, tetapi kelopaknya lebih lebar. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 9 kaki. Bunga ini mempunyai lima kelopak dan wangi. Ia berwarna ungu, dan putih yang menggambarkan usia sebenarnya.

    Jika anda menemui bunga warna ungu tua, ini bermakna ia baru berkembang. Setahun kemudian, ia mengeluarkan bunga berwarna ungu muda seperti lavender dan apabila matang, ia berwarna putih.

    Ia yang sering menjadi tumbuhan laman dan hiasan laman sebagai pokok pagaran dan wangian, juga membiak melalui keratan batang dan biji benih, tetapi buahnya amat jarang ditemui.


    Bagi mereka yang sukakan kelainan di laman, pokok ini boleh ditanam dalam pasu untuk dijadikan hiasan dalaman dan sesuai untuk mengharumkan kawasan yang mempunyai ruang terhad.

    Malah bagi memastikan keserian dan wanginya menguasai ruang yang diingini, peminat bunga ini digalakkan menanam pokok berkenaan di dalam pasu untuk memudahkan usaha mengalihya ke sudut laman rumah.

    Pokok ini dikategorikan tumbuhan yang ‘mesra’ iklim sederhana tetapi memerlukan air yang banyak serta cahaya matahari. Bagaimanapun, ketika musim panas ia lebih sesuai diletakkan di kawasan yang agak redup.

    Bagaimanapun, di sebalik kecantikan fizikal dan baunya yang wangi, bunga Yesterday, Today dan Tomorrow ini, sebaliknya satu tumbuhan beracun. Jika termakan, ia boleh menyebabkan mangsa mengalami pengeluaran air liur yang berlebihan, sesak nafas, sawan, anak mata menjadi besar serta pucat.

    Oleh kerana ia berbau harum, bunganya banyak digunakan untuk rawatan aromaterapi tetapi tiada khasiat perubatan yang diperoleh untuk spesies ini.

    Ada laporan jurnal yang menasihatkan supaya bunga ini dijauhkan daripada kanak-kanak dan haiwan peliharaan kerana dikhuatiri akan dimakan dan boleh menyebabkan keracunan.

    Info

    Nama: Yesterday, Today, Tomorrow

    Nama Saintifik: Brunfelsia pauciflora

    Nama Lain: Brunfelsia biru, Morning-Noon-and-Night, Brunfelsia Floribunda

    Spesies famili: Solanaceae

    Asal: Brazil dan Afrika Selatan

    Tip tanaman

  • Pokok bunga ini seelok-eloknya ditanam di dalam pasu bagi memudahkan usaha mengalih tumbuhan ini terutama ketika musim hujan. Ini bagi mengelak tumbesarannya terjejas atau rosak akibat hujan.

  • Pokok ini juga perlu sentiasa dipangkas bagi mengawal pembesarannya serta pengeluaran bunga. Pangkasan ini juga dapat menjadikan bentuknya lebih menarik.

  • Perkara yang perlu diutamakan ketika menyiram pokok ini adalah menjarakkan tempoh siraman. Memadailah jika ia disiram dengan air mencukupi dan tidak kerap bagi memastikan akar pokoknya tidak rosak akibat terlalu banyak air.

  • Masa paling elok bagi siraman adalah pada awal pagi atau petang. Ini bukan saja dapat menjimatkan air tetapi pada masa sama, menjaga kesuburan tumbuhan ini.

  • sumber ; berita harian online

    Saturday, November 7, 2009

    Kalau Ada Kemahuan

    Cipta pam tayar berkuasa bateri

    EMPAT pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka yang mengikuti Kursus Rekabentuk Industri mencipta produk inovasi terbaru iaitu 'Motorcycle Air Pump Comprerssor (MAPC)'.


    MAPC hasil ciptaan Chang Chee Khee, Muhammad Izzuddin, Phang Boo Onn dan Tan Wee Ming adalah produk yang mampu mengepam tayar motosikal dengan bantuan bateri.

    Dengan berdimensi kecil dan ringan, MAPC sesuai dijadikan 'kit motor' kerana ia amat berguna jika tayar pancit atau kurang angin ketika dalam perjalanan.

    Selain dapat mengepam angin dalam tempoh singkat, ia mudah di bawa ke mana-mana kerana boleh diletakkan di bawah tempat duduk motosikal.

    Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof Madya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata produk ini hasil kreativiti pelajar ketika mengikuti kursus Rekabentuk Industri.

    Menurutnya, pelajar yang mengikuti kursus itu sememangnya akan lebih kreatif dan sentiasa mencuba untuk mereka bentuk suatu produk yang berguna untuk masyarakat.

    "Produk hasil ciptaan pelajar ini juga bukan saja dipamerkan untuk lulus dalam peperiksaan tetapi ia amat berguna untuk masyarakat jika dikomersialkan.

    "UTeM sendiri menerusi Bahagian Penyelidikan dan Inovasi sedia memberi demostrasi MAPC ini kepada industri yang berminat dan sedia membuat perubahan dari segi reka bentuk untuk keperluan pemasaran," katanya.

    Di samping itu, kata Dr Abu Bakar, MAPC adalah produk inovasi ketiga yang direka oleh penyelidik UTeM sebagai alat untuk mengepam angin motosikal.

    "Sebelum ini iaitu pada tahun 2006, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan mencipta 'Air Pressure Plug' dan diikuti oleh penyelidik dari fakulti yang sama, Ir Sivarao Subramoniam yang mencipta 'Automatic Tyre Pressure Controller'.

    "Kedua-dua produk ini kini dalam proses akhir pengkomersialan dan akan berada di pasaran tidak berapa lama lagi," katanya.

    Produk MAPC ini juga akan diperkenalkan pada industri melalui pameran inovasi yang diadakan di dalam dan luar negara pada tahun 2010. sumber harian metro

    Friday, November 6, 2009

    Sumber Ilhamku

    Pak Jatnika ikon buluh

    Mula mengusahakan rumah buluh sejak tahun 1985, Jatnika tidak jemu-jemu menghasilkan rekaan rumah buluh yang mempesonakan termasuk yang terbaru di Hulu Langat, Selangor.


    SEBUAH binaan bambu di Indonesia.


    APABILA berbicara tentang individu di sebalik industri buluh di rumpun Nusantara, namanya antara yang wajar disebut. Hasil kerjanya bukan sahaja berlegar di Indonesia, negara asalnya, bahkan sehingga ke Arab Saudi dan Jerman. Semasa mengusahakan perabot sekitar tahun 1975 sehingga 1985, produknya pernah sampai ke Sepanyol. Ternyata, dia membuktikan buluh bukan satu material yang patut dipersiakan.

    Mesra dipanggil sebagai Pak Jatnika, anak kelahiran Sukabumi, Jawa Barat itu disifatkan bagai ikon buluh. Sehingga ada yang mengatakan, mengenalinya seperti mengenali buluh. Tidak hairanlah dia sering menjadi pakar rujuk bagi sesiapa sahaja di sekitar Indonesia dan Malaysia yang ingin mendalami ilmu membuat barangan atau binaan daripada buluh.

    Memimpin Yayasan Bambu Indonesia, Jatnika, 53, boleh dianggap salah seorang daripada pengubah pemikiran masyarakat di Indonesia tentang buluh.

    Buluh sememangnya material yang akrab dengan manusia di Nusantara sejak dahulu kala. Perabot dan rumah lazim diperbuat daripada buluh. Namun apabila arus pemodenan melanda sekitar hujung tahun 70-an, buluh semakin dilupakan dan mentaliti kita dengan pantas menyifatkan rumah buluh sebagai rumah orang miskin.

    Tetapi, bagi Jatnika, di dadanya sentiasa ada rasa berkobar-kobar untuk mengubah persepsi masyarakat agar menganggap buluh memiliki banyak manfaat dan amat berharga.

    Mula mengusahakan rumah buluh sejak tahun 1985, Jatnika tidak jemu-jemu memperbaiki penghasilan rekaan rumah buluh sehingga berseni mewah dan mampu mempesona mata ramai.


    IBU Try Sutrisno (tiga dari kiri) meluangkan masa meninjau rumah bambu milik Ramadhan (kanan) di Hulu Langat, Selangor.


    Usahanya dan pengusaha buluh yang lain boleh dikatakan berhasil apabila bermula tahun 1995, suasana berubah di Indonesia. Bukan sahaja terdapat binaan dan landskap-landskap buluh di kota-kota seperti Jakarta, bahkan banyak rumah orang berpengaruh termasuk golongan pegawai pemerintah diperbuat daripada buluh.

    "Sebelum tahun 1995, masyarakat di Indonesia menganggap rumah buluh adalah rumah orang miskin dan tidak istimewa. Kalau mahu dapatkan bantuan kewangan untuk buat rumah buluh, cepat sahaja ia diuruskan sebab orang fikir pemohon itu miskin dan mesti cepat dibantu.

    "Tetapi, keadaan berubah selepas tahun 1995. Mentaliti masyarakat berubah bahawa yang memiliki rumah daripada buluh itulah orang kaya. Sudah jadi terbalik pula," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


    PAK JATNIKA


    Warisi kepakaran

    Jatnika mewarisi kepakaran 'berurusan' dengan buluh daripada bapanya. Sejak berusia 10 tahun lagi, Jatnika sudah mula menganyam buluh. Pada usia 15 tahun, dia sudah mula menghasilkan kraftangan daripada buluh. Kemahirannya dikembangkan sehingga membuat perabot seperti kerusi dan katil pada tahun 1975. Selepas 10 tahun, dia mula mengusahakan rumah buluh.

    Mempunyai pengalaman selama 24 tahun membuat rumah buluh, sehingga kini, sudah lebih 3,000 rumah buluh bercita rasa moden dan mewah dihasilkan oleh Jatnika. Dia juga menghasilkan cottage buluh di resort terkenal di Jatinangor, Jawa Barat.

    Saat berbicara dengannya tentang buluh, nada suaranya di talian sentiasa bersemangat.

    "Andai saya hitung, ada lebih 1,500 kegunaan buluh. Lagi pula, di Indonesia tidak asing dengan bencana gempa bumi. Buluh adalah material yang mempunyai daya tahan gempa yang lebih baik.

    "Dengan menyemarakkan industri buluh juga, ia tidak akan memusnahkan hutan. Tidak seperti pokok, jika ditebang maka 100 tahun lagi, mungkin baru kembali matang. Mungkin juga pokok perlu ditanam semula. Tetapi buluh, ia tanaman yang cepat tumbuh," katanya sambil menegaskan tumbuhan penting untuk mendinginkan persekitaran alam.

    Jatnika juga percaya dengan buluh boleh menyatupadukan. Jatnika mula melakukan pameran buluh di Malaysia pada tahun 2007. Sejak itu, terdapat beberapa individu di negara ini yang tertarik dengan hasil kerjanya dan mahu mendalami ilmu pembuatan barangan dan rumah buluh dengannya. Terdapat juga pihak yang berminat untuk meminta Jatnika membina kediaman mereka daripada buluh.

    Mahligai buluh

    Rumah bambu seakan banglo di Hulu Langat, Selangor milik bekas pegawai bank, Ramadhan Abdul Hamid sebenarnya dibangunkan oleh Yayasan Bambu Indonesia yang dipimpin oleh Jatnika. Buluh-buluh itu turut dibawa dari Indonesia.

    Projek julung-julung kali tersebut disifatkan oleh Jatnika, sebagai lambang persahabatan antara Indonesia dan Malaysia. Penaung dan pengasas Yayasan Bambu Indonesia, Ibu Try Sutrisno turut meluangkan masa datang meninjau rumah bambu tersebut ketika ia sedang disiapkan.


    MEMANFAATKAN buluh untuk pembinaan rumah dapat mengelakkan kemusnahan hutan.


    "Saya ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang turut membantu dalam penghasilan rumah bambu di Hulu Langat ini. Antaranya individu-individu dari Yayasan Bambu Indonesia dan sahabat-sahabat dari serata Malaysia.

    "Harapan saya adalah untuk melihat rumpun Nusantara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei dapat bersatu dalam memajukan industri buluh.

    "Bagi saya, serumpun bambu itu membawa maksud sejuta makna, sejuta karya dan sejuta cipta," simpul Jatnika. - ADHAM SHADAN-Kosmo Online

    Thursday, November 5, 2009

    Kemahiran Jamin Pekerjaan

    Pendidikan teknikal, vokasional diperkasa


    SISTEM pendidikan negara perlu terus melengkapkan pelajar dengan kemahiran relevan dan latihan untuk menyediakan mereka apabila berdepan landskap saingan global. Gabungan usaha sama dengan pemimpin industri yang menawarkan pekerjaan, latihan dan kaunseling kerjaya bagi menyediakan pelajar ke alam pekerjaan sebenar nyata membuahkan hasil amat memuaskan.

    Dengan perubahan kepada pekerjaan yang berasaskan ilmu dan pengetahuan, kerajaan perlu berusaha meningkat dan membangunkan bakat yang ada. Dalam konteks ini, peluang menjalin kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT), perniagaan dalam sektor swasta dan kerajaan mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

    Ketika ini, sistem Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di Malaysia berupaya menyediakan modal insan dan tenaga kerja yang dihasilkan menerusi graduan pada peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan di politeknik. Graduan politeknik dan vokasional ini menyediakan pekerja mahir dan separuh mahir serta kelas pertengahan.

    Kelebihan TVET tidak dinafikan kerana pengajian yang ditawarkan menyediakan keseimbangan di antara kemahiran umum dan khusus, latihan teori dan amali, tumpuan kepada industri, skim latihan untuk pelajar dan pengajian sepanjang hayat. Kewujudan politeknik kini menjadi tumpuan ibu bapa yang merasakan anak mereka boleh mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian sama ada pada peringkat sijil mahupun diploma.

    Sememangnya 49 program peringkat diploma, 22 program peringkat sijil, 12 program asas dan lima program kemahiran khas serta satu program diploma lanjutan yang ditawarkan menerusi TVET tidak pernah menghampakan belia yang dahagakan ilmu kemahiran. Ditambah pula dengan 21 program peringkat sijil dan 89 program berdasarkan permintaan, ia mampu menyediakan asas modal insan yang baik untuk pertumbuhan industri.

    Sudah sampai masanya program yang ditawarkan politeknik itu sendiri dinilai menerusi sistem bintang sebagai dorongan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang dijangka bermula 2010 dan mengenal pasti politeknik terbaik serta menubuhkan pusat kecemerlangan teknologi dan bidang yang menjadi kekuatan. Penyediaan tenaga pengajar hebat yang mempunyai pengalaman dalam sektor industri turut menjadi faktor penting sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan menarik minat pelajar.

    Sehingga ini, seramai 449 pensyarah dari 381 syarikat diambil sejak program kerjasama dengan industri itu bermula. Ini termasuk 61 pensyarah daripada 59 syarikat tahun ini dan 210 pensyarah dari politeknik menunggu panggilan untuk mengajar tahun depan. Pensyarah jemputan dari industri pula menyuntik semangat pelajar apabila pada tahun lalu seramai 523 orang dipanggil manakala 605 orang pada 2009.

    Persoalannya sekarang adakah pelbagai perubahan yang dilakukan mampu menjamin kerjasama utuh antara institusi dan institusi pengajian dan bagaimanakah industri dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti memberi sumbangan ke arah membangunkan dan mengubah keperluan modal insan yang celik teknologi dan intelek bagi menghadapi daya saing ekonomi.

    Kerajaan tidak boleh menafikan kepentingan bekerjasama dengan industri yang menjanjikan faedah dan kebaikan. Antaranya meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja, meningkatkan daya boleh pasaran dan daya keusahawanan di kalangan graduan, pemindahan pengetahuan dan penyelidikan dan pembangunan dan membolehkan politeknik dan kolej komuniti memiliki daya saing bertaraf antarabangsa.

    Kemahiran amat diperlukan untuk membolehkan graduan terus bersaing dalam pasaran pekerjaan di negara ini. Lebih-lebih pada ketika ekonomi Malaysia yang mengalami transformasi daripada latar belakang sektor pertanian yang kukuh dan berasaskan pengeluaran kepada ekonomi pelbagai sektor. Ini semua menjadi cabaran kepada graduan bagi memastikan kemahiran mereka terus kekal dan relevan apatah lagi dalam membangunkan kemahiran dalam k-ekonomi, ada peranan yang perlu dimainkan pelajar, IPT, majikan serta pembuat dasar.

    Mahu tidak mahu, pelaburan yang begitu signifikan dalam pendidikan untuk membangunkan sumber manusia pastinya perlu dipastikan berbaloi. Petunjuk terbaru termasuk industri pengeluaran, pertumbuhan eksport, keadaan pasaran buruh dan peningkatan sentimen pengguna, langkah kepada kestabilan ekonomi domestik memberikan harapan. Dalam erti kata lain, arah aliran pekerjaan dalam ekonomi pelbagai sektor di Malaysia amat memerlukan modal insan berkemahiran.

    Sampai masanya Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan penubuhan dua jabatan baru iaitu Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti sebagai usaha penjenamaan semula serta transformasi terhadap institusi pengajian itu sekali gus membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kertas Kabinet mengenai cadangan itu akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membolehkan kedua-dua jabatan baru itu ditubuhkan.

    Pada masa ini, kedua-dua jabatan berkenaan digabungkan sebagai Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sejak 1 Januari 2005. Beliau berkata, penjenamaan semula itu berupaya memberi peluang kepada belia termasuk ‘mat rempit’ yang tercicir dari sistem pendidikan diterapkan dan terbabit dalam industri kreatif. Kertas Kabinet itu antara lain akan menentukan hala tuju semua politeknik dan kolej komuniti di negara ini dan menyokong usaha kerajaan untuk menjana ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti”.

    Ketika ini negara menawarkan lebih 100,000 tempat untuk kursus jangka pendek yang ditawarkan semua kolej komuniti setiap tahun. Masa sudah sampai bagi pelajar politeknik mendapat peluang mengikuti kursus bertaraf diploma, berbanding sijil di semua 27 politeknik.

    Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan mewujudkan sistem ranking bagi 27 politeknik bertujuan memantau prestasi dan pencapaian dalam usaha meningkatkan pembabitan politeknik dalam penyelidikan dan pembangunan. Atas alasan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan dalam politeknik dan sememangnya sampai masa bagi institusi pengajian berkenaan membabitkan diri.

    Banyak usaha lain sedang dilakukan bagi menunjukkan kekuatan politeknik dan memberi peluang untuk pelajar mendapat kelulusan tertinggi. Transformasi ialah mahu menjadikan politeknik satu aliran yang kuat, kukuh untuk pelajar selain hanya dalam bidang akademik. Selepas dapat diploma, pelajar politeknik kena masuk universiti dan sampai masanya negara mewujudkan sistem lengkap untuk pelajar politeknik.

    “Politeknik sebagai satu institusi di mana sebahagian besar program yang ditawarkan adalah tahap diploma dan kita mempunyai 80,000 pelajar iaitu 40 peratus pemegang diploma. Kita merasakan politeknik tidak perlu menekankan latihan kemahiran. Peringkat sijil patut diberi kepada Institut Kemahiran Mara dan lain-lain manakala politeknik sepatutnya memberi pengkhususan dalam kursus diploma untuk mengukuhkan status lulusan,” katanya.

    Sehubungan itu, kerjasama dengan pihak industri tidak boleh diketepikan dan sememangnya untuk memastikan mereka menjalankan peranan dengan betul dan keberkesanan program mereka. Sektor industri memerlukan tenaga kerja mahir dan kerajaan akan terus mengadakan dialog bagi memastikan kerjasama lebih kukuh pada masa depan.

    Monday, November 2, 2009

    Didik Murid Berniaga

    SEJAK ditubuhkan pada 1998, Kelab Usahawan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Kamaruddin, Hulu Selangor, memberi impak sangat besar terutama mengembangkan potensi pelajar dalam kegiatan perniagaan.

    Selain menggalakkan pelajar mempraktikkan subjek Matematik dan Ekonomi, kelab itu aktif dan cemerlang.

    Lebih membanggakan, kelab usahawan sekolah itu mempunyai syarikat sendiri, Cahaya Sejajar Sdn Bhd bagi membantu pelajar menjalankan perniagaan di sekolah.

    Guru penyelaras, Nurul Mariah Ahmad, berkata, walaupun mempunyai 25 ahli, mereka mampu mengusahakan perniagaan secara meluas dengan melakukan pelaburan besar saham simpanan.

    Beliau berkata, pelajar di sekolah itu dilatih membeli 'saham' dengan menyimpan di syarikat berdaftar secara sah itu dari semasa ke semasa.

    "Selain menjalankan aktiviti perniagaan di sekolah, kelab sering mengadakan jualan di luar sekolah termasuk program rasmi kelolaan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.

    "Kelab ini turut menghantar ahli menyertai kursus dan seminar keusahawanan selain program khas Usahawan Muda Negeri Selangor (Permata Selangor) bagi memberi peluang kepada mereka mendalami bidang perniagaan," katanya.

    Selain ahli kelab, pelajar sekolah diberi peluang membantu kelab mengumpul dana bagi memacu kemajuan kelab secara berterusan.

    "Antara kegiatan kelab ialah membuka pusat mencuci kereta, projek bumi hijau, ternakan keli dan jualan makanan ringan.

    "Kecemerlangan itu membolehkan kelab ini memenangi banyak kejayaan dalam pertandingan di pelbagai peringkat," katanya.

    Menurutnya, setiap ahli diberi peluang berniaga menggunakan modal yang diperuntukkan khas bagi melatih mereka mempunyai keyakinan diri.

    "Penyertaan pelajar dalam kelab ini juga memberi banyak kelebihan dan ilmu perniagaan menerusi program yang dijalankan," katanya.



    PROFIL

    NAMA SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Kamaruddin

    TARAF: Sekolah Harian Gred A

    PENGETUA: Abd Manap Jarkasi

    NAMA KELAB: Kelab Usahawan

    GURU PENYELARAS: Nurul Mariah Ahmad

    TARIKH PENUBUHAN: 1998

    AHLI: 25 orang


    sumber Harian Metro

    Anugerah Ilahi

    Pagar semula jadi

    Sumber Oleh Rohaniza Idris
    roha@bharian.com.my




    Ketinggian buluh meneduhkan ruang laman.

    Buluh atau bambusa sesuai sebagai pohon pagaran selain kalis bunyi

    MENANAM buluh untuk dijadikan pokok pagaran adalah pilihan terbaik untuk kediaman berbanding membina pagar menggunakan batang buluh.

    Ini kerana pokok buluh seperti tumbuhan yang lain mampu menyerap karbon dioksida, malah ada yang berpendapat pokok ini menyerap gas berkenaan lebih banyak daripada tumbuhan lain.


    Selain penuh nilai estetika, penanaman pohon buluh sebagai pagaran dilihat lebih berbaloi kerana ia mempunyai dwifungsi kepada laman dan kediaman iaitu mencantikkan dan menghidupkan suasana.

    Malah, buluh menjadi salah satu tanaman paling mudah untuk tumbuh dan dijadikan pagar ‘hidup’ untuk laman kerana cirinya yang cepat hidup dan meninggi.

    Sesuai sifatnya yang boleh membesar sehingga 2.43 meter atau lapan kaki, buluh juga menjadi pagar kalis bunyi dan menghalang pemandangan luar yang memberi hak bersendirian kepada pemilik kediaman. Buluh juga penghalang angin dan bunyi desiran angin di celah pohon buluh mendamaikan membangkitkan lagi nilai estetika laman.
    Buluh menjadi pilihan bagi membahagikan sempadan.

    Ada dua jenis buluh yang utama sesuai untuk dijadikan pokok pagaran. Jenis pertama disebut buluh menjalar dan rizom, atau akar tanaman ini, menjalar beberapa inci di bawah tanah secara horizontal (mendatar). Biasanya ketika mula membesar ia akan menjalar di kawasan sekitarnya dan lebih mudah membesar dan menjadi pagaran.

    Jenis kedua pula dikenali sebagai rumpun. Buluh jenis ini tumbuh serumpun kerana ubi akarnya lebih bulat dan tidak menjalar. Biasanya jenis ini sukar membiak dengan cepat kerana tumbuh berdasarkan ubi akarnya.

    Namun, buluh jenis ini lebih mudah untuk diuruskan tumbesarannya dan lebih sukakan cahaya matahari yang dapat menggalakkan pertumbuhannya.

    Pertumbuhan buluh jenis ini lebih perlahan iaitu hanya meningkat dua hingga tiga kali saiz asalnya setahun dan menyebabkan jangka waktu lebih lama diambil sebelum dapat dijadikan pagar kediaman.
    Buluh cantik ditanam di sudut laman.


    Biasanya, pokok buluh banyak dijadikan pokok pilihan bagi laman berkonsep tropika dan Zen atau China. Selain menjadi pokok pagaran, buluh dijadikan hiasan untuk membahagikan sempadan serta penghias kawasan tepi tembok dan sudut kediaman.

    Terkini, seni hiasan laman menampilkan ciri tradisional dengan sentuhan kontemporari dan buluh sering menjadi pilihan pereka laman kerana ia hiasan yang tidak `lapuk' dan boleh disesuaikan untuk apa konsep pun termasuk moden.

    Info

    Persediaan menanam buluh sebagai pagar

    # Kenal pasti kawasan pilihan. Kawasan yang sesuai seluas 1.5 meter dan lebar 91.44 sentimeter bergantung kepada jenis dan saiz buluh.

    # Seeloknya, jangan jemur akar pokok buluh yang dikeluarkan daripada beg semaian.

    # Untuk menanam buluh serumpun, korek lubang tiga kali lebih besar daripada akar pokok. Letakkan tanah kompos bagi sistem pengairan akar. Anda juga boleh letakkan sedikit pasir dekat dengan akar pokok bagi membolehkan air masuk ke dalam tanah.

    # Bagi memastikan buluh yang ditanam hidup dan cepat membesar, buatkan parit kecil 30 sentimeter untuk sistem pengairan.

    # Seeloknya, siram pokok dua kali sehari supaya pokok tidak kering.

    # Jangan gunakan baja kimia untuk dua tahun pertama penanaman. Selepas tempoh itu, gunakan rumput atau serbuk sabut kelapa di sekeliling pokok. Biasanya, buluh akan menjadi pagar yang cantik apabila masuk tahun kedua penanaman.



    Fakta

    # Ada kira-kira 100 jenis buluh dengan pelbagai warna, bentuk dan tekstur yang tumbuh di kawasan tropika dan separa tropika.

    # Di Semenanjung Malaysia, kira-kira 13 spesies buluh digunakan secara meluas dalam industri kecil, industri kraftangan dan pengeluaran buluh seperti Buluh Duri (Bambusa Blumeana), Buluh Galah (Bambusa Heterostachya), Buluh Minyak (Bambusa Vulgaris), Buluh Betong (Dendrocalamus Asper), Buluh Akar/Tali (Dendrocalamus Pendulus) dan Buluh Semantan (Gigantochloa scortechnli).

    # Buluh Minyak dan Buluh Betong sering menjadi pilihan untuk seni hiasan laman kerana rupanya yang cantik dan unik untuk seni hias taman.

    # Di kawasan tropika, daunnya lebih lebat berwarna hijau dengan batangnya boleh hidup memanjang sehingga lebih 30 meter dan dikenali sebagai tumbuhan tropika paling panjang. Click Here

    Sunday, November 1, 2009

    Kaedah Pembelajaran Terkini

    Belajar secara maya guna iPhone

    Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN-utusan online



    SERAMAI 200 orang pelajar Sekolah Cempaka, Kuala Lumpur akan berpeluang belajar menggunakan iPhone 3GS daripada Maxis Communication Berhad (Maxis).

    Majlis yang dilancarkan oleh Naib Presiden Maxis Communications Berhad, Fitri Abdullah dan Naib Presiden Sekolah Cempaka, Dr. Iskandar Rizal Hamzah akan mengedarkan 100 unit iPhone 3GS sebagai sebahagian daripada program Virtual Learning Environment (VLE).

    Sekolah Cempaka telah mewujudkan program VLE sebagai landasan yang sesuai bagi Internet menggunakan iPhone dan sebagai tambahan sekolah akan memperkenalkan siri aplikasi iPhone yang akan digunakan dalam kurikulum setiap hari.

    Fitri berkata, sejak revolusi iPhone 3GS dilancarkan pada 31 Julai lalu di negara ini, pihaknya mendapat pelbagai reaksi positif memandangkan fenomena iPhone 3GS adalah di peringkat global.

    "Kami amat berbangga mengumumkan kerjasama dengan Sekolah Cempaka bagi membolehkan pelajar belajar menggunakan iPhone 3GS daripada Maxis memandangkan ia sesuai bagi bermain, belajar dan bekerja.

    "Malah telefon bimbit ini lebih menarik apabila digunakan dalam pembelajaran di luar bilik darjah dengan adanya promosi bagi pelajar, guru serta kakitangan yang berminat untuk mendapatkan iPhone 3GS dari Maxis," katanya.

    Sementara itu, Dr. Iskandar Rizal menambah, Sekolah Cempaka telah menggunakan teknologi dalam kelas sejak lama dulu.

    "Kami telah memperkenalkan MacBook bagi setiap pelajar sekolah menengah pada tahun 2007 dan kami melihat iPhone akan menjadi salah satu bahan pembelajaran.

    "Kini dengan komputer riba, pelajar boleh mendapatkan maklumat secara dalam talian, berkomunikasi, mengakses dan menghantar kerja sekolah serta membikin filem serta projek," katanya.

    iPhone akan membuka aplikasi baru dan akan memberikan kemudahan kepada pelajar untuk mudah berhubung antara satu sama lain dan mempunyai akses sedia ada di luar bilik darjah.

    Justeru, apabila pelajar menjalankan tugas luar, mereka boleh menggunakan iPhone untuk merekod, merakam gambar, temu bual dan merakam video.

    Kolej Wanita Antarabangsa Cempaka (CILC) yang akan mengambil pelajar baru tahun ini akan membekalkan iPhone kepada pelajar sebagai sebahagian daripada persekitaran pembelajaran.

    "Kami telah mempunyai semua sumber bagi penggunaan iPhone dan sentiasa membangunkan aplikasi sendiri," katanya.

    Kolej yang pertama seumpamanya akan dilengkapi dengan WiFi bagi memudahkan pelajarnya mendapatkan akses Internet.

    Maxis mengadakan pameran bergerak di Sekolah Cempaka Damansara Heights bermula 13 September bagi membawa pengalaman iPhone 3GS lebih dekat dengan pelajar dan guru.

    Dr. Iskandar Rizal berkata, pihaknya mungkin akan menjalinkan kerjasama dengan sekolah lain mengenai pengguna iPhone.

    "Ini mungkin akan mengambil masa yang lama selepas kami membangunkan aplikasi sendiri," katanya.

    Sebahagian daripada pameran bergerak adalah untuk memberikan kemudahan kepada ibu bapa dan pelajar menggunakan rangkaian Maxis dengan pelan Value Plus Family.

    Hanya dengan komitmen bulanan RM30, pelan Value Plus Family menawarkan 20 jam panggilan suara atau video percuma dan 2,000 SMS percuma bagi talian utama bagi talian tambahan.

    Terdapat juga 15 jam panggilan suara atau video percuma dan 1,500 SMS bagi talian tambahan untuk memanggil talian utama dan talian tambahan.

    Selain itu bagi Sekolah Cempaka, pelajar, ibu bapa dan kakitangan akan menikmati 38 jam panggilan percuma intra-komuniti dan 500 SMS sebulan sebagai sebahagian promosi Maxis bagi Sekolah Cempaka.

    DSKP RBT Tahun 4 Semakan 2017